fbpx
Asliza (tengah) bersama Mariani (kanan) dan Nazrah menunjukkan tong kosong yang digunakan untuk menadah air daripada lori ketika ditemui di Kampung Sungai Gelam, Sungai Petani semalam.

Bisnes belacan merosot sebab masalah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Penduduk Kampung Sungai Gelam di sini sudah muak apabila masalah gangguan bekalan air yang membelenggu mereka sejak bertahun lalu masih tidak selesai hingga menjejaskan perniagaan dan kehidupan harian mereka.

Asliza Abdul Razak, 52, berkata, lebih 100 penduduk bukan sahaja terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dihantar dengan lori, malah berdepan pula de­ngan tekanan rendah ketika cuaca panas melampau.
Katanya, masalah itu menjejaskan pendapatan kebanyakan suri rumah yang rata-rata menghasilkan belacan.

“Perusahaan yang dilakukan sejak lima tahun lepas terjejas. Belacan memerlukan air yang banyak setiap hari. Saya kehila­ngan pelanggan kerana gagal memenuhi permintaan mereka,” katanya.

Mariani Zahari, 30, pula mendakwa, dia terpaksa berulang-alik sejauh 10 kilometer setiap hari untuk mengangkut air bersih dari telaga tiub di Kampung Bendang Dalam dan Batu Hampar.

“Saya perlu mencari alternatif lain untuk angkut air kerana lori datang ikut jadual,” katanya.

Nazrah Talib, 47, pula berkata, dia dan dua lagi ahli keluarganya terpaksa bergilir bersengkang mata menadah air di awal pagi sejak beberapa bulan lalu.

“Tekanan air memang rendah. Jika bernasib baik kami akan memperolehi air yang ditadah antara pukul 3.30 pagi hingga pukul 5 pagi setiap hari.

“Kadang-kadang anak sulung lelaki berumur 23 tahun meru­ngut mengantuk di tempat kerjanya kerana tidak cukup tidur disebabkan terpaksa menadah dan mengangkut air,” kata isteri nelayan itu.

Saifol Izhar Zainol, 31, pula hairan kerana masalah yang berlaku terlalu lama itu gagal dita­ngani oleh pihak berkuasa.

“Pelbagai alasan diberi seperti berlaku kebocoran, sedang selenggara, cuci tangki di loji rawatan air dan sebagainya.

“Sampai bila kami nak mengharapkan air yang dihantar oleh lori semata-mata yang hanya boleh digunakan untuk membasuh sahaja dan tidak boleh diminum dan memasak,” katanya yang mendesak supaya masalah itu diselesaikan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN