fbpx
PENGABAIAN bahasa kebangsaan dalam ruang awam boleh menurunkan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan budaya.

Bahasa Melayu tidak rosak, tetapi telah dirosakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘Perlekeh bahasa’, satu kenyataan yang sesuai digunakan sebagai teguran kepada anak muda mahupun generasi lama apabila mereka lebih mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris atau bangga mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris dalam kehidupan seharian.

Ramai juga yang menganggap bahasa rojak ini ‘pelaris’ dalam hal-hal tertentu terutamanya dalam menarik pelabur asing, meningkatkan populariti produk mereka dan dianggap lebih moden untuk kehidupan berteknologi ketika ini.

Realitinya, belum ada sebarang kajian yang berjaya membuktikan bahawa penggunaan bahasa rojak termasuklah menerusi penulisan pada gegantung, iklan produk atau dalam sesebuah ucapan rasmi menjadi faktor utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan atau pelaburan, malah dilihat hanya lebih merosakkan identiti bahasa kebangsaan itu sendiri.
Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL menemu bual Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari di pejabatnya di Menara DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DR. HAZAMI akui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mampu memupuk semangat perpaduan.

KOSMO! AHAD: Bahasa Melayu melambangkan identiti kebangsaan negara, tetapi sejak kebelakangan ini sebahagian masyarakat termasuk golo­ngan muda lebih suka menggunakan bahasa rojak. Apakah pandangan Dr.?
DR. HAZAMI: Generasi hari ini merupakan golongan yang sangat aktif, kreatif dan inovatif dalam menggunakan bahasa. Mereka terdedah dengan pelbagai pengaruh terutamanya pengikut, media sosial dan paparan menerusi media cetak dan elektronik sehingga tidak me­ngendahkan bahasa kebangsaan dalam penggunaan harian.
Maka, terbinalah kata kasar, tidak mengikut sistem tatabahasa yang indah, sopan dan teratur serta mereka ini memilih kata-kata slanga, disingkatkan secara semberono, dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain sesuka hati.
Penggunaan bahasa rojak dapat dinilai daripada dua sudut pandangan. Pertama, penggunaannya dalam perhubungan tidak rasmi seperti perbualan, dilihat kurang kesan buruk kerana terbatas khalayaknya.
Kedua, apabila digunakan dalam urusan rasmi, apatah lagi disiarkan oleh media, secara jelas meninggalkan kesan buruk berganda lebih-lebih lagi diucapkan oleh orang ternama seperti pemimpin, tokoh serta pempengaruh.
Lambat laun bahasa rojak dianggap hal yang lumrah. Situasi ini berbahaya bagi kemantapan sesuatu bahasa kerana mempe­ngaruhi nilai bahasa Melayu tinggi yang menjadi warisan kepada generasi akan datang.

Apakah penyebab atau pengaruh yang memesongkan masyarakat kini, khusus­nya generasi muda daripada terus memartabatkan bahasa Melayu?
Pertama, pengaruh globalisasi dan hegemoni bahasa Inggeris apabila penggunaan bahasa ­asing itu sering dianggap sebagai bahasa utama dalam pendidikan, pekerjaan dan komunikasi global.
Selain itu, pengaruh media sosial dan hiburan menerusi kan­dungan digital, filem, muzik serta permainan video lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing lain yang lebih menarik minat generasi muda.
Kedua, kurangnya kesedaran dan penghargaan disebabkan sikap generasi muda ketika ini yang menganggap bahasa Me­layu kurang ‘prestij’ atau moden berbanding dengan bahasa asing.
Ketiga, pengaruh teknologi yang ketika ini terdapat kekura­ngan kandungan digital berkua­liti menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, malah populariti budaya luar seperti K-Pop, Ho­llywood dan anime banyak mempengaruhi penggunaan bahasa dan gaya hidup generasi muda.

Apakah kesan langsung terhadap bahasa kebangsaan jika penggunaan bahasa rojak te­rus berleluasa?
Ia memberikan kesan kepada jati diri rakyat Malaysia. Generasi muda kini mungkin tidak begitu jelas atau kurang faham Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
Cabaran kepada pihak kerajaan untuk membetulkan kembali minda masyarakat yang tersasar dan terjajah ini. Peranan DBP pula adalah untuk mencantumkan kembali dan menyedarkan masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu dengan betul dan bukanlah menggabungkan banyak bahasa dalam satu ayat.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan bangsa dan memastikan kestabilan negara serta mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Dengan menguasai bahasa kebangsaan, rakyat dapat memahami antara satu sama lain dan membina hubungan yang lebih erat tanpa halangan bahasa. DBP memainkan peranan dalam memperkukuh identiti ini mela­lui program pemerkasaan bahasa termasuklah penerbitan buku, kamus dan karya-karya sastera yang mempunyai nilai-nilai bahasa Melayu tinggi.

Bagaimanakah pula dengan pencemaran bahasa pada papan iklan yang dilihat boleh menimbulkan ancaman besar terhadap integriti linguistik dan warisan? Sejauh manakah seriusnya perkara ini?
Bahasa yang digunakan pada papan iklan tentu sekali berkait dengan orang awam dan menjadi satu kewajipan atau hak mereka untuk dibekalkan dengan maklumat dalam bahasa kebangsaan yang baik dan betul.
Kesalahan tatabahasa dan penggunaan bahasa rojak pada papan iklan boleh melemahkan standard bahasa kebangsaan. Apabila masyarakat, terutama­nya generasi muda sering terdedah kepada bahasa yang tidak betul, mereka mungkin menganggap penggunaan bahasa yang salah sebagai sesuatu yang normal.
Selain itu, penggunaan bahasa asing secara berlebihan dalam iklan dan paparan awam boleh mengurangkan rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan dan menghilangkan jati diri bangsa.
Pengabaian bahasa kebangsaan dalam ruang awam boleh menurunkan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan budaya. Ini terma­suklah penggunaan istilah dan penamaan dalam bahasa asing yang mungkin tidak relevan dengan konteks tempatan.
Tidak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti DBP boleh menimbulkan masalah penguatkuasaan. Isu seperti pemalsuan sijil DBP dan tidak mematuhi piawaian papan iklan boleh mencemarkan usaha pemeliharaan bahasa kebangsaan.

Adakah penularan bahasa rojak menjadi cabaran besar dihadapi DBP terutamanya dalam memartabatkan bahasa Melayu?
Untuk membentuk masya­rakat berbudaya tinggi, halus budi bahasanya, sudah pasti bahasa rojak menjadi cabaran. Setiap zaman ada cabaran dan menjadi lebih hebat pada masa ini kerana mudah ditularkan me­lalui teknologi semasa.

DBP merangka program-program bersifat lisan dan tulisan dalam memupuk penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, penghayatan sastera. Contohnya, Minggu Penulis Kanak-kanak dan Remaja, Forum Remaja, Dekad Bahasa Kebangsaan dan pementasan teater untuk menggalakkan anak-anak muda menggunakan bahasa yang baik.
Lebih penting, bahasa kebangsaan merupakan bahasa perpa­duan negara.

Penggunaan teknologi terkini termasuklah media sosial seperti X, Facebook dan TikTok dikatakan memburukkan lagi keadaan dengan generasi muda lebih suka menghantar mesej dalam bentuk teks lebih ringkas dan sukar difahami. Bagaimanakah Dr. melihat perkara ini?
Penggunaan slanga, bahasa rojak dan ejaan tidak standard yang digunakan dalam media sosial perlu diatasi. Pendekatan mendidik secara kreatif dan santai penting untuk menangani isu ini kerana pada zaman ini, media sosial memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggunaan dan pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, DBP telah melaksanakan beberapa perkara untuk menarik minat pengguna media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan X DBP. Media sosial DBP digunakan untuk berkongsi maklumat tentang tatabahasa, kosa kata, peribahasa, dan aspek-aspek lain dalam bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu dalam kandungan kreatif se­perti video pendek, pantun, sajak, atau cerpen menarik minat pengguna, terutamanya golongan muda. Kandungan ini boleh mempromosikan rasa kecintaan dan megah terhadap bahasa Melayu.

Bagaimanakah cara atau tindakan DBP untuk menangani pencemaran bahasa Melayu disebabkan penggunaan bahasa rojak?
Kesedaran tentang kepenti­ngan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul melalui program pendidikan dan program pemupukan yang melibatkan kegiatan promosi dan penggalakan seperti pertandingan, kempen, penganjuran wacana ilmu, dan pengiktirafan perlulah dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) umpamanya, merupakan bentuk kempen terbesar dalam kalendar tahunan DBP. BBK merupakan agenda bahasa negara untuk semua lapisan masyarakat yang dilaksanakan pada bulan Oktober setiap tahun dengan tujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan.

Prasarana rujukan juga perlu dibangunkan dan disediakan untuk mempermudah dan mempercepat capaian kepada bahan rujukan oleh pengguna. Dalam hal ini, pangkalan data perkamusan, pangkalan data peristilahan, pangkalan data ensiklopedia, pangkalan data bahasa sukuan, pangkalan data teks dan pustaka digital disatukan secara maya untuk membentuk suatu pusat sumber maklumat bahasa kebangsaan yang komprehensif yang disebut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (ringkasnya PRPM).

PRPM ini boleh dicapai melalui laman web rasmi DBP, www.dbp.gov.my. DBP turut menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa untuk membantu menyelesaikan masalah penggunaan bahasa dari segi tatabahasa, ejaan rumi atau jawi, istilah dan tanda baca.

Kesungguhan dalam mena­ngani isu pencemaran bahasa ini penting untuk memastikan bahasa Melayu terus dihormati dan dijaga sebagai teras pembentukan negara bangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN