fbpx
Rosnah yang digelar ‘Ratu Mesin’ dan 'MacGyver' dikelilingi pelbagai mesin semasa ditemui di UPM, Serdang baru-baru ini. – Foto IQBAL ROSLI

Prof. Rosnah digelar MacGyver, cipta lebih 60 jenis mesin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UMUMNYA bidang reka bentuk mesin selalunya didominasi oleh kaum lelaki. Namun begitu, Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin mengubah persepsi itu dan beliau merupakan wanita hebat yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan mesin pemprosesan makanan.

Beliau telah mencipta lebih 60 harta intelek berdaftar mesin pemprosesan makanan yang membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia.

Malah, Rosnah yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mendapat gelaran ‘Ratu Mesin’ atas kejayaannya menghasilkan pelbagai jenis mesin.

Sebelum itu, dia turut digelar sebagai MacGyver kerana minatnya dalam menghasilkan mesin.

Hasil kajiannya ternyata memberi manfaat dan ramai usahawan IKS yang telah menggunakan mesin-mesin pemprosesan makanan yang dihasilkannya untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran produk mereka.

Rosnah berkata, beliau tidak boleh lari daripada bidang tersebut kerana itulah bidang pendidikan yang diceburinya.

“Bidang saya berkaitan reka bentuk mesin memproses makanan dan oleh itu saya sentiasa mencari idea yang boleh membantu memudahkan penyediaan makanan.

“Saya fokus menghasilkan mesin pemprosesan makanan untuk IKS kerana saya tahu mereka amat memerlukan mesin-mesin sebegini,” katanya kepada K-Wanita.

Rosnah memiliki Diploma Kejuruteraan Pertanian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian, Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Proses dan Makanan) dari UPM dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Kimia dan Proses dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

ANTARA mesin yang dihasilkan Rosnah ialah mesin mengecilkan kulit durian untuk memudahkan proses pengkomposan.

Sepanjang terlibat bidang itu, Rosnah telah hasilkan banyak mesin pemprosesan makanan. Mesin pertama dihasilkannya adalah Auto Squeezer iaitu mesin memarut dan memerah kelapa secara serentak.

Selain itu, wanita yang juga merupakan Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) tersebut pernah menghasilkan Ezy Cooker iaitu sebuah mesin memasak jem atau dodol.

Rosnah, 53, menyifatkan keistimewaan setiap mesinnya adalah terletak pada kemudahan untuk dikendalikan, diselenggara dan dialihkan mengikut kesesuaian pengusaha.

Sebagai contoh, mesin pembuat karipap yang dihasilkannya mampu menghasilkan 12 biji karipap serentak, bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga meningkatkan kualiti dan kuantiti produk.

“Alat atau mesin yang dibangunkan adalah untuk menjimatkan masa dan tenaga serta mempercepat pembuatan dan meningkatkan kuantiti produk yang dihasilkan selain direka bentuk secara semi-automatik.

“Selain itu, disebabkan fokus saya lebih kepada usahawan IKS, mesin yang dihasilkan juga mesti ringkas bagi membolehkan mereka menyelenggarakannya sendiri,” ujar wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak yang dibesarkan di Bota Kanan itu.

Mesin pemprosesan makanan yang dihasilkan Rosnah ternyata telah memberi banyak manfaat kepada usahawan IKS.

Malah, ada pusat zakat yang mengambil mesin pembuatan karipap yang dihasilkan oleh beliau untuk diberikan kepada golongan asnaf.

Sementara itu, sepanjang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan mesin pemprosesan makanan beliau juga telah menerima lebih 100 anugerah pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang diterimanya termasuk ITEX 2008 dan 2010 (Anugerah Gold and MIPA), British Invention Show 2009 (Emas), INNOVA Brussel 2010 (Perak), INOVA Croatia 2013 (Anugerah Emas dan Dilpoma EuroInvent Award), CIGIF Korea 2012 (Emas) dan 2018 (Emas dan KIA Special Award), CIC Korea 2019 (Emas dan Semi Grand Award), Malaysia Technology Expo (MTE) 2021 (Emas) dan 2024 (Perak), SUIIS 2024 (Emas), Innozilla 2024 (Gangsa).

Terkini, beliau memenangi dua Anugerah Penyelidik Cemerlang Fakulti Kejuruteraan 2024 bagi kategori Inovasi dan Jaringan Komuniti.

ROSNAH telah meraih pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Rosnah turut memenangi Anugerah Fellowship Naib Canselor UPM 2021 bagi kategori Perkhidmatan Profesional dan Projek Jaringan Komuniti Terbaik 2018.

Selain itu, beliau juga telah menerbitkan lebih 150 jurnal, lima buku dan enam bab buku.

Mengulas lanjut, Rosnah berkata, beliau tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran untuk membangunkan mesin-mesin pemprosesan makanan.

Menurutnya, cabaran utama adalah menghasilkan mesin untuk kegunaan industri makanan yang berskala kecil.

“Saya perlu membangunkan sebuah mesin yang mudah dikendalikan oleh operator kurang atau separuh mahir.

“Selain itu mesin ini juga mesti selamat digunakan, mudah diselenggarakan, alat ganti yang mudah didapati, mudah dibersihkan dan akhir sekali kos mesin yang berpatutan kepada pengusaha IKS terutama dari segi kos pembuatan,” kata Rosnah.

Tambahnya, cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk proses pengkomersialan.

Amat sukar untuk mendapatkan syarikat yang betul-betul berkelayakan, bersungguh-sungguh dan jujur dalam menjalankan aktiviti pengkomersialan serta mampu membekalkan mesin kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Meskipun telah mempunyai lebih daripada 60 harta intelek, Rosnah tidak akan berhenti di situ dan beliau kini sedang melakukan beberapa penyelidikan lagi.

Menurutnya, ketika ini beliau lebih memfokuskan kepada penyelidikan memproses sisa pertanian kepada produk yang mempunyai nilai tambah.

“Setiap tahun sisa pertanian dan buah-buahan banyak terhasil pada kuantiti yang agak tinggi dan jumlah ini akan melibatkan keperluan ruang lebih besar untuk proses pelupusan.

“Bukan sahaja kulit buah-buahan, tetapi sisa makanan dan bahan pertanian yang lain juga. Ia harus diuruskan secara bijak dan sistematik, bukan hanya dapat mengurangkan pencemaran, malah ia mampu memberi manfaat dan pulangan tambahan terutamanya kepada usahawan industri dan malahan global,” jelasnya.

Tambahnya, hasil penyelidikan yang dapat mengolah sisa-sisa pertanian kepada produk nilai tambah juga dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Seterusnya, alam persekitaran akan menjadi bersih dan pemuliharaan alam sekitar akan dapat dilaksana.

Malah, Rosnah juga telah berjaya mencipta mesin pencincang kulit durian yang membantu mengecilkan saiz kulit durian untuk memudahkan proses pengkomposan atau diproses menjadi produk bernilai tinggi.

Sementara itu, Rosnah menjelaskan, dalam industri pemprosesan makanan, ia bukanlah sesuatu yang asing bagi kaum wanita.

“Ia boleh menjadi permulaan yang terbaik kerana dapat mewujudkan peluang penyertaan lebih luas dalam tenaga kerja dalam bidang keusahawanan.

“Tambah pula dengan sokongan dan pemahaman yang sewajarnya dalam memanfaatkan keupayaan teknologi dalam pemprosesan makanan, ini akan menjadikan wanita yang terlibat dalam penciptaan juga boleh terus berkembang untuk berkongsi kreativiti mereka dengan lebih berkesan secara meluas,” katanya.

Dalam masa yang sama, Rosnah juga berharap agar beliau dapat memperkasa kepakaran dimiliki agar dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, beliau telah terlibat lebih daripada 24 tahun dalam industri pemprosesan makanan sama ada sebagai pensyarah, penyelidik, penasihat teknikal dan penggiat terutama dalam inovasi teknologi.

“Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan segala kemudahan yang ada di UPM di Serdang, saya akan cuba sebaiknya menggunakannya dalam menghasilkan inovasi baharu.

“Saya amat mengharapkan, semoga dengan hasil didikan dan perkongsian ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar dan usahawan-usahawan yang bersama-sama dalam penyelidikan akan menghasilkan generasi tunggak negara yang kreatif, inovatif dan produktif dalam membantu pengusaha-pengusaha industri makanan terutama IKS,” jelasnya.

Tambah ibu kepada empat orang anak itu, sebagai wanita berkerjaya, keutamaan kepada keluarga juga perlu diberikan.

Mencapai keseimbangan dalam tuntutan pekerjaan dan juga tanggungjawab kepada keluarga merupakan satu cabaran dan bukan sesuatu tugas yang mudah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN