LAWATAN Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) bulan lalu berlandaskan usaha memperkukuh persahabatan ekonomi bagi memastikan Malaysia memperoleh pulangan ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Lawatan ini juga bertujuan memperkukuhkan kepercayaan dan hubungan di peringkat tertinggi antara pemimpin serta asas sejarah hubungan antara kedua-dua negara yang meliputi aspek ekonomi, people to people ties, perniagaan dan pelaburan dua hala dan pendidikan.
Ia turut membuka jalan kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang geopolitik, pertahanan dan keselamatan.
UK meningkatkan peralihan fokus strategik Indo Pasifiknya, menyertai usaha untuk melindungi kawasan geografi kritikal demi memastikan rantaian bekalan sumber semula jadi penting dan mineral melalui keselamatan maritim serta konsep Free and Open Indo Pacific. UK juga meningkatkan kehadirannya di kawasan strategik di Indo Pasifik termasuk di Asia Tenggara.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, diharapkan oleh pihak luar termasuk UK untuk dapat memastikan prinsip asas susunan serantau yang berasaskan peraturan dan undang-undang antarabangsa dapat ditegakkan.
UK diperlukan untuk membantu mengisi jurang dalam kapasiti pertahanan serantau, seperti dalam perjanjian pertahanan Malaysia dengan Korea Selatan, hubungan pertahanan diperbaharui dengan Jepun melalui OSA dan potensi kerjasama baharu dengan Turkiye.
Langkah ini memperkukuh jaminan alternatif pertahanan Malaysia secara keseluruhan dan peranan pelengkap UK melengkapi kekuatan tambahan Fibve Powers Defence Arrangement (FPDA), iaitu Malaysia memainkan peranan strategik untuk UK dalam mengekalkan kehadiran kuasa Indo Pasifik dan peranannya di Asia Tenggara, melindungi rantaian bekalan serta kepentingan
geopolitik UK. Ia juga sebagai benteng hadapan menghadapi ancaman dan percaturan kuasa baharu China.
Peralihan fokus kepada Indo Pasifik oleh UK dijangka membawa manfaat besar kepada Malaysia terutama dalam sektor pertahanan dan ekonomi.
Percaturan ini, termasuk pengukuhan hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan sekutu utama dan rakan baharu, memberi manfaat kepada Malaysia dan rantau ini melalui usaha untuk memastikan kebebasan navigasi dan hak lintas laluan udara di perairan antarabangsa (freedom of overflight), serta menegakkan undang-undang maritim dan antarabangsa.
Pulangan Ekonomi
Gelombang baharu dalam membina rangka kawalan yang dipercayai di Indo Pasifik akan meningkatkan peranan jangka panjang Malaysia dalam perancangan strategik baharu UK di rantau ini.
Malaysia akan mendapat manfaat melalui kelebihan unik untuk memperkuat pengaruh Global South dan kepemimpinan dunia Islam dengan membina keterangkuman serantau bersama kuasa Eropah selain daripada gabungan kuasa Kesatuan Eropah (EU).
Peluang ekonomi Malaysia dengan prospek kemasukan UK sebagai anggota CPTPP membuka akses baharu kepada sektor ekonomi dan perdagangan tradisional dan sebagai pendahulu kepada usaha transformasi ekonomi baharu. Ini berasaskan kepada transformasi digital, pendekatan ekonomi berasaskan nilai dengan fokus kepada penerapann teknologi tinggi, penggalakan strategik mineral kritikal dan komoditi.
UK merupakan rakan tradisional dan penyedia keselamatan dipercayai selama beberapa dekad bagi Malaysia, yang merangkumi kepercayaan mendalam dan kapasiti kebergantungan sejak era Perang Dingin dan zaman pasca kolonial.
Jaminan pertahanan strategik melalui FPDA telah menjadi manifestasi utama sebagai tonggak hubungan pertahanan dan keselamatan ini, tetapi hubungan pertahanan dua hala secara bilateral perlu diperkukuhkan dan dipertingkat.
Berbeza dengan hubungan pertahanan Malaysia-Amerika Syarikat, hubungan pertahanan dengan UK miliki sifat unik berdasarkan sejarah perjuangan bersama menentang ancaman serupa semasa Perang Dingin.
Hubungan mendalam di pelbagai peringkat Track II dan Track III termasuk people to people relations, serta legasi sejarah berdasarkan perkongsian panjang sejarah pembangunan di bawah panji Komanwel, menuntut pemerkasaan pertalian untuk perlu berkembang sejajar arus ancaman lebih meruncing.
Berbeza dengan UK, hubungan dengan AS lebih berkisar kepada pandangan grand strategy mengenai kepentingan mengekalkan nilai, norma dan idea kebebasan dan demokrasi serta mempertahankan norma undang-undang antarabangsa yang berlunaskan moral high ground, selari dengan keupayaan dan kapasiti kuasa holistik yang dipegang oleh Washington.
Industri kritikal yang menjadi kepentingan bersama meliputi Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi digital, mineral kritikal dan semikonduktor, ekonomi tenaga baharu, ekonomi biru, serta industri berkaitan pertahanan dan keselamatan.
Peranan Malaysia
UK memiliki kelebihan konvensional dan sedia ada dari segi kepakaran, infrastruktur, dan kesiapsiagaan sistemik, manakala Malaysia menyediakan orientasi holistik sektor awam-swasta dengan fokus teguh kepada aplikasi AI dalam pelbagai model peralihan industri dan ekonomi, serta berfungsi sebagai hab dengan kemasukan firma Barat dan bukan Barat serta aliran masuk modal dan pelaburan dalam bidang berkaitan AI dan digital.
Selain itu, asas kukuh Malaysia dalam elektronik dan pembuatan semikonduktor akan memberi manfaat kepada UK dalam memperluaskan pandangan digital di Indo Pasifik.
UK adalah rakan sejarah yang dihargai dan sangat diperlukan dalam perkiraan holistik.
Dengan dilema keselamatan yang kian tegang, hubungan ekonomi, budaya, dan pertahanan jangka panjang antara UK-Malaysia kerap diuji, namun lawatan ini membina keyakinan dan kepercayaan yang lebih bertahan lama, serta menghantar mesej bahawa meskipun rantau ini pernah diabaikan dahulu dengan kekangan sumber dan kapasiti kewangan, hubungan baharu dan kerjasama diperbaharui akan memperkukuhkan kerangka bersama.
Bagi UK, Malaysia berada di pusat laluan maritim utama dan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan, selain berdiri teguh menghadapi postur ekonomi dan pertahanan baharu China.
Dalam mengambil kira pembukaan baharu dan potensi percaturan geopolitik di Northern Sea Route di Laut Artik, UK memerlukan strategi dua hala yang melibatkan ASEAN dan komponen utama ASEAN, termasuk Malaysia.
Secara kolektif, blok ASEAN kini menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia, dan hubungan perdagangan UK-ASEAN bernilai £50 bilion.
UK dan Malaysia perlu memperkukuhkan pertukaran ekonomi dari segi modal dan teknologi, berdasarkan asas kukuh hubungan people to people dan di peringkat rasmi (Track I), dengan usaha untuk mengurangkan halangan kepada perdagangan, pelaburan, dan perniagaan dalam bidang utama untuk manfaat bersama.
Model strategik konvensional yang digunakan dalam pertimbangan untuk berkecuali dan tidak memihak kini juga menjadi batas bagi Malaysia dalam mendapatkan pulangan penuh daripada hubungan dengan UK.
Hubungan antara UK-Malaysia kekal kukuh terutamanya di peringkat rakyat, pendidikan, pelancongan, penyelidikan, perniagaan, dan perdagangan. Bidang-bidang ini memberikan peluang mudah dan paling bermakna sebagai asas untuk memupuk kesan limpahan positif yang menyokong sektor yang lebih kritikal, seperti kerjasama pertahanan, keselamatan, dan bekalan makanan dan tenaga.
Hubungan ini menjadi simbol keperluan hubungan berdasarkan kepercayaan dan keyakinan dalam membentuk rantau dan dunia yang patuh kepada peraturan undang-undang antarabangsa, sambil menegakkan kestabilan dan keamanan.
Penulis ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.














