MUHAMAD SYAMSUL berharap pemain e-sport yang hebat juga boleh diiktiraf sebagai legenda.

GamesMY mahu bakat e-sukan tempatan dipandang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIDANG e-sukan kini dilihat semakin berkembang maju dengan pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk mengubah persepsi negatif terhadap sukan itu.

Jika dahulu, e-sukan seringkali dianggap sebagai aktiviti yang tidak memberi nilai tambah kepada akademik dan sahsiah pelajar, namun kini golongan ibu bapa khususnya dilihat lebih terbuka, lebih-lebih lagi selepas melihat ramai anak muda yang membuktikan kejayaan mereka dalam bidang itu.

Berusaha menaikkan industri tersebut sejak tahun 2018, sebuah syarikat e-sukan tempatan, GamesMY mahu terus membangunkan sukan itu, khususnya di peringkat universiti.

Berkongsi dengan K-Remaja, Pengarah GamesMY, Muhamad Syamsul Helmi, 30, memberitahu syarikat GamesMY ditubuhkan pada tahun 2018, dan ketika itu juga, ia menjadi satu-satunya syarikat di negara ini yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa, Gombak untuk penyediaan aktiviti game.

“Ketika ditubuhkan, kami memainkan peranan dengan menyediakan studio game buat para pelajar untuk bermain game di komputer peribadi (PC) dan juga ketika itu, PlayStation 4.

“Sejak dari itu, para pelajar ini sudah pun diberi pendedahan terhadap apa itu e-sukan seperti cara permainan dan juga aspek-aspek lain misalnya teknologi maklumat atau IT dalam game,” kata Muhamad Syamsul membuka bicara.

Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu mengakui melihat wujudnya minat dalam kalangan para pelajar untuk mendalami bidang tersebut, bukan sekadar sebagai pemain, bahkan mereka juga berminat untuk mendalami bidang penghasilan game e-sukan seperti paparan grafik dan bunyi.

Begitu pun, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, Muhamad Syamsul terpaksa menghentikan operasi studionya dan menjual peralatan game yang dimiliki, memandangkan bisnes yang diusahakan mengalami kerugian.

Matlamat utama GamesMY ialah melahirkan bakat muda dalam e-sukan.

GamesMY kemudian kembali beroperasi pada Mac 2022 dan kali ini, ia lebih memfokuskan terhadap penganjuran pelbagai acara e-sukan di seluruh Malaysia.

Matlamat utamanya adalah untuk mengenal pasti bakat muda dalam e-sukan. GamesMY juga kini sudah pun mempunyai satu lagi studio game di Kelantan, sebagai memberi peluang anak muda di situ untuk mencungkil bakat mereka.

Muhamad Syamsul berkata, antara kejayaan terbesar GamesMY adalah menerusi penganjuran acara EsportsLah 2024 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada November lalu yang dihadiri lebih 30,000 pengunjung.

Ia juga disertai oleh pemain dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, membabitkan games seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EA Pro Club dan Tekken 8.

Ujar Muhamad Syamsul, peluang terlibat belakang tabir dalam penganjuran acara e-sukan yang besar dan gah sebegitu menjadikan dia yakin dengan kemampuan Malaysia untuk terus mencipta kejayaan dalam bidang itu.

“Saya melihat negara sudah mampu mengendalikan acara e-sukan dengan jumlah crowd yang besar dan ramai.

“Bahkan, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kita nampak peningkatan industri e-sukan negara, dengan semakin ramai atlet muda seperti Haqqullah ‘Sekys’ Ahmad Shahrul Zaman misalnya yang mana bakatnya sudah pun dipandang dan diiktiraf dunia.

“Selain itu, karya tentang bakat e-sukan seperti filem Soloz: Game of Life juga dihasilkan dengan begitu hebat dan dilihat mampu membuka mata orang ramai tentang kepentingan industri ini,” katanya.

Tambah Muhamad Syamsul, dia turut berharap akan melihat golongan gamers sebegini juga akan diiktiraf negara, sama seperti pengiktirafan yang diberikan kepada legenda sukan negara, Datuk Lee Chong Wei misalnya.

“Saya berharap agar bintang e-sukan ini, khususnya mereka yang benar-benar hebat dan mengharumkan nama negara akan dipandang tinggi dan digelar legenda, sama seperti legenda badminton negara seperti Datuk Lee Chong Wei.

“Saya gembira apabila kerajaan juga sudah pun membesarkan bajet untuk pembangunan e-sukan bagi tujuan pembangunan bakat e-sukan secara berterusan,” kata Muhamad Syamsul mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN