fbpx
MOHD. Ikmal Danial (lima dari kiri) dan adiknya, Mohd. Danial Irfan (tiga dari kanan) menerima sumbangan di Merbau Pulas, Kulim kelmarin. Gambar kecil Allahyarham Zaimima dan Mohd. Sofi.

Jaga adik demi jaga amanah arwah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Sehingga kini masih terngiang-ngiang permintaan terakhir ibu, walau apa pun terjadi saya akan jaga adik dan tidak akan berpisah.”

Demikian ujar Mohd. Ikmal Danial Mohd. Sofi, 21, yang kehila­ngan ibu bapa, Zaimima Ismail, 43, dan Mohd. Sofi Ismail, 43, akibat nahas motosikal berkuasa tinggi ketika berkonvoi di Chumphon, Thailand bulan lalu.

Katanya, dia akan tetap menjaga adiknya, Mohd. Danial Irfan, 13, walaupun ada saudara mara termasuk nenek, Sairah Lin, 68, yang menyatakan hasrat untuk menjaga adiknya itu.

“Ini bukan ha­nya tanggungjawab, malah satu amanah yang harus dipikul bagi memenuhi permintaan terakhir arwah ibu.

“Memang ada saudara mara termasuk nenek minta jaga adik tetapi memandangkan itu permintaan arwah ibu, saya akan jaga adik hingga dia dewasa,” katanya semalam.

Katanya, dia akan meneruskan perniagaan kedai makan yang diusahakan arwah bapanya sebagai punca pendapatan utama untuk menyara hidup mereka dua beradik selepas ini.

“Sebelum ini saya yang me­ngurus kedai makan berkenaan terutama ketika ibu bapa pergi ‘ride’ dan saya bersyukur kerana tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan soal pendapatan.

“Tambahan dengan adanya bantuan isteri, Intan Syazwani Mohd. Nadzri, 23, yang baru dikahwini Oktober lalu, kami percaya akan berjaya meneruskan legasi perniagaan keluarga dan menjaga adik dengan sempurna,” ujarnya selain bersyukur kerana adik lelakinya itu sudah boleh menerima ketentuan takdir yang menimpa ibu bapa mereka.

“Hanya sehari dua selepas kematian ibu bapa dia kelihatan sedih kerana hilang tempat bermanja dan sekarang dia dah okey.

“Tak tahulah pula bagaimana perasaannya apabila nak sambut puasa dan hari raya nanti tanpa ibu dan bapa,” katanya.

Kelmarin, dua beradik itu menerima sumbangan RM47,252 serta batu nisan sebagai tanda di pusara oleh sekumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Pada 28 Januari lalu, Kosmo! melaporkan, suami isteri tersebut maut dalam nahas ketika berkonvoi di Chumpon, Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN