fbpx
PENGGUNA boleh menyelia perbelanjaan harian menerusi telefon pintar.

K2

Urus kewangan harian secara digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERDAPAT pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuat simpanan supaya dapat dijadikan dana kecemasan apabila diperlukan.

Salah satu cara konvensional yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan simpanan di dalam tabung seperti zaman kanak-kanak.

Tidak kurang juga mereka yang membuat simpanan di dalam bank atau ejen kewangan lain seperti Amanah Saham Nasional Berhad, Tabung Haji atau melakukan caruman tambahan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Biarpun sudah membuat simpanan, namun hal utama yang perlu dilakukan adalah memantau dan menguruskan kewangan dengan baik bagi mengelakkan pembaziran atau terlebih berbelanja.

Kini, anda tidak perlu membuat catatan di dalam buku nota mengenai segala perbelanjaan yang dilakukan.

Sebaliknya, dengan aplikasi Goodbudget anda boleh menguruskan kewangan dengan lebih mudah dan teratur.

Cara digital itu seiring dengan teknologi semasa apabila segalanya boleh dilakukan di dalam telefon bimbit.

Aplikasi yang menyediakan keahlian percuma bagi kategori asas itu dilihat sebagai langkah berkesan untuk pemula mengawal dan menjejaki urusan kewangan pada setiap hari.

Selain itu, Goodbudget menawarkan perkhidmatan belanjawan yang boleh mengawal perbelanjaan secara teratur dan sistematik.

SETIAP perbelanjaan akan dicatat dalam aplikasi Goodbudget.

Aplikasi ini memberi sentuhan moden terhadap penyimpanan dengan cara menarik iaitu memasukan wang ke dalam sampul surat digital berdasarkan kategori ditetapkan.

Pengguna dibenarkan melakukan ketetapan kategori mengikut belanjawan dan aturan kewangan masing-masing.

Bukan sahaja membantu untuk menyelia simpanan, Goodbudget juga boleh menguruskan hutang dengan lebih teratur agar tidak terlepas tarikh akhir bayaran.

Pengguna boleh membuat catatan pembelian dan bayaran di aplikasi itu bagi memantau jumlah wang yang telah ditetapkan.

Setiap catatan pembelian atau bayaran dapat membantu pengguna mengetahui baki wang yang telah ditetapkan agar tidak dibelanjakan secara berlebihan.

Catatan pembelian itu secara tidak langsung dapat membantu pengguna memantau perbelanjaan secara mingguan, bulanan atau tahunan.

Terdapat tiga pelan ditawarkan iaitu percuma, bayaran bulanan dan bayaran tahunan dengan ciri-ciri berbeza. Bagi pelan percuma, pengguna dibenarkan untuk memiliki 10 sampul surat (kategori simpanan) sementara bayaran bulanan dan tahunan pula boleh dibuat tanpa had.

Bagi penyimpanan data jadual penyimpanan, pengguna percuma dibenarkan untuk menyimpan sejarah transaksi selama setahun, manakala pakej berbayar pula boleh dilakukan selama tujuh tahun.

Pengguna pelan percuma boleh menggunakan aplikasi tersebut di dua peranti, manakala pelan berbayar dibenarkan sehingga lima peranti.

Bukan sahaja dapat diakses menerusi peranti pintar, aplikasi itu juga disertakan dengan versi desktop selain boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Selain memantau tahap perbelanjaan, aplikasi ini dapat mendidik pengguna agar berbelanja mengikut kemampuan.

Dalam kata mudah, aplikasi ini membolehkan pengguna mengukur baju di badan sendiri dan mengelak daripada berbelanja secara berlebihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI