Gadis berketurunan Iban, Maria Madeline Anak Kiri berazam mahu membantu seramai mungkin penduduk kampungnya di Sri Aman, Sarawak mendapatkan pendidikan asas yang lebih baik.
Gadis berusia 23 tahun itu gigih bekerja separuh masa sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat yang menawarkan pengajaran bahasa Cina.
Kepada Kosmo! Ahad, pelajar semester empat Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkongsi mengenai diri dan harapan masa hadapan kepada anak bangsanya.
KOSMO! AHAD: Ceritakan sedikit mengenai diri anda.
MARIA: Saya adalah anak sulung daripada dua beradik. Adik bongsu masih lagi belajar dan kini menyambung pengajian di peringkat diploma di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Suka belajar benda baharu supaya ilmu tersebut dapat membantu saya menghadapi kehidupan lebih baik masa akan datang.
Apa yang membuatkan awak mengambil jurusan kewartawanan?
Sejak kecil saya suka baca berita dan menulis. Semasa di sekolah menengah, saya pernah menjadi ketua pengarang bagi majalah sekolah. Berharap satu hari nanti dapat menjadi wartawan di salah sebuah akhbar tempatan.
Adakah awak ada buat kerja separuh masa ketika ini?
Saya bekerja separuh masa di sebuah syarikat yang menawarkan pengajian bahasa Cina. Sudah setahun lebih bekerja di situ. Pendapatan daripada syarikat ini saya gunakan untuk membiayai pengajian ketika ini.
Lelaki macam mana yang awak suka?
Saya suka lelaki yang bertanggungjawab, penyayang, lemah lembut dan sopan. Saya tidak suka lelaki yang tidak mahu berubah daripada kesilapan yang dibuatnya walaupun peluang sudah diberikan beberapa kali.
Berapa banyak bahasa yang awak kuasai?
Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Cina. Kini, saya mula belajar bahasa Arab. Kelebihan mengetahui banyak bahasa akan membuka lebih banyak peluang untuk mendapat pekerjaan, baik di dalam atau luar negara.
Apa impian awak pada masa akan datang?
Saya mahu bawa ibu melawat Tembok Besar China. Itu impian ibu sejak dahulu lagi. Saya pula ingin melawat beberapa buah negara Eropah.
Adakah awak merasakan pendidikan itu penting?
Bagi saya, hanya pendidikan sahaja yang boleh meningkatkan taraf hidup kita. Ibu mengingatkan supaya saya habiskan belajar sebelum mahu mencapai apa yang diinginkan selama ini. Kebanyakan majikan kalau hendak ambil pekerja akan melihat latar belakang mereka yang datang ke sesi temu bual. Justeru, pendidikan amat penting kepada setiap manusia.
Adakah awak mempunyai perancangan untuk membantu orang kampung sendiri?
Saya ingin membantu seramai mungkin penduduk di tempat kelahiran, Sri Aman untuk mendapatkan pendidikan asas. Di kawasan ini, akses pendidikan agak terhad. Diharap kerajaan dapat melakukan tambah baik.















