BENTONG – Seorang pengawal keselamatan layak digelar hero apabila tidak mengendahkan keselamatan dirinya ketika berusaha menyelamatkan juruterbang di dalam helikopter yang terbakar selepas terbalik kelmarin.
Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Solehhin Zainal Arifin, 38, berkata, ketika itu dia hanya nekad menarik keluar juruterbang di bahagian kokpit ke tempat selamat walaupun api sedang marak membakar pesawat berkenaan.
Katanya, kejadian pada pukul 10.20 pagi itu berlaku ketika dia bersama seorang rakan, Danial Naim Muazzim Khairudin, 19, berada di pos keselamatan Bentong Fruits Farm Hots Spring Campsite, Jalan Kuala Lumpur Batu 9 di sini.
“Kejadian itu kira-kira 20 meter dari pos pengawal. Ketika itu saya lihat helikopter melepaskan tali pengangkut barang dan perlahan-lahan turun untuk mengisi minyak.
“Pada masa sama, saya lihat mendiang Finsen menunggu di bawah dan memegang tong minyak untuk membantu mengisi bahan api. Bagaimanapun, ketika hampir menjejak tanah, helikopter itu hilang kawalan ke kiri dan kanan sebelum terbalik dan terbakar,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu mengakibatkan jurutera warga Indonesia, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut akibat terkena libasan bilah kipas helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger yang hilang kawalan ketika mendarat untuk mengisi minyak.

Juruterbang dikenali sebagai Kustiyadi, 44, yang juga warga Indonesia hanya mengalami cedera ringan.
Sebelum kejadian, helikopter itu berlepas dari tapak projek Tenaga Nasional Berhad iaitu 16 kilometer dari lokasi.
Menurut Muhammad Solehhin, ketika itulah dia melihat kepala jurutera itu terkena bilah kipas lalu terpelanting sejauh lima meter.
Tambahnya, seakan mengetahui mendiang sudah tiada, dia kemudian berlari ke bahagian kokpit untuk membantu mengeluarkan juruterbang.
“Mujur pintunya terbuka dan memudahkan kerja saya, namun pada masa sama saya berdoa agar pesawat tidak meletup,” katanya.
Ujar Muhammad Solehhin, juruterbang yang hampir sedar kemudian memintanya menyelamatkan Finsen, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Banyak kali dia ulang minta selamatkan Fensen tetapi api begitu marak. Alat pemadam pula berada di bawah pesawat sebelum saya kemudian hubungi pasukan keselamatan,” katanya.
Menurut Muhammad Solehhin, tidak lama kemudian, penyelia dan beberapa pekerja tiba untuk memadamkan api sementara menanti pasukan keselamatan.
Tambahnya, apabila api padam, dia membantu mengutip serpihan otak dan tempurung kepala Finsen untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Sepatutnya saya balik pukul 8 pagi, tetapi entah kenapa rasa tidak sedap hati rupanya kejadian itu hendak berlaku. Mendiang seorang yang baik dan peramah walaupun baru sebulan mengenalinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














