BATU PAHAT – Seorang wanita bersyukur apabila anak perempuannya yang hilang sejak awal Januari lalu telah ditemui selepas ‘disimpan’ lelaki yang dipercayai kekasih remaja itu di sebuah bilik sewa di pekan Layang-Layang di Kluang kelmarin.
Gadis berusia 15 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat selepas hilang sejak 2 Januari lalu.
Ibunya berkata, anak sulungnya itu diserahkan pada pukul 4 petang selepas keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.
“Kami bersyukur kerana anak selamat selepas pelbagai usaha pencarian dilakukan. Ketika ini, dia akan membuat pemeriksaan di hospital di sini sebelum memikirkan tindakan lanjut.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk media,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, remaja yang merupakan pelajar tingkatan tiga dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Sri Jaya di sini dengan pakaian serba hitam.
Usaha menjejakinya sebelum ini gagal walaupun pernah dilihat menunggang motosikal di bandar Batu Pahat melalui rakaman litar televisyen tertutup.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, remaja itu ditemui di kawasan Jalan Kampung Paya, Layang-Layang, Kluang, pada pukul 11.45 pagi.
“Kita telah mengambil keterangannya dan terserah kepada keluarga untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya sambil menyatakan kes itu telah diselesaikan.














