fbpx
Halilah (kanan) bersama suaminya, Mohd. Zainon menunjukkan gambar arwah Nur Anis Iwana ketika ditemui di Kupang, Baling semalam.

‘Hari ini hari terakhir Anis ambil SPM, tapi Allah menjemputnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang ibu melahirkan rasa kesal dan mendakwa anak pe­rempuannya lewat diberi rawatan kecemasan di sebuah hospital di daerah ini sehingga menyebabkan nyawa anak­nya terancam dan seterusnya mening­gal dunia.

Halilah Ahmad, 49, berkata, anaknya Nur Anis Iwana Mohd. Zainon, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jerai, Kupang meninggal dunia setelah sehari mendapat rawatan kecemasan.

“Sepatutnya hari ini (semalam) hari terakhir Anis menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi apakan daya Allah telah menjemputnya.

“Ketika dia mendapatkan ra­watan pun dia tidak dapat hadir ke dewan peperiksaan untuk menjawab satu kertas peperiksaan, bermakna dua mata pelajaran yang sepatutnya dia ambil tetapi dia tidak sempat dihabiskannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Charuk Kangar, Kupang semalam.

Katanya, dia tidak mengetahui sakit sebenar yang dihidapi anaknya itu, sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

“Anis mengadu sakit perut tetapi tidak mengalami cirit-birit atau muntah, namun setelah menerima rawatan kecemasan dan meninggal, pihak hospital me­ngatakan Anis terkena jangkitan tro kolera,” katanya.

Menurutnya, Anis juga mengadu seolah-olah mulutnya se­perti terkena kancing gigi, namun badannya tidak panas, tidak mengalami cirit-birit ataupun muntah.

“Pada pukul 4 pagi Khamis (minggu lalu), bapanya (Mohd. Zainon Abdullah) membawa Anis ke hospital.

“Apabila tiba di wad kecemasan kami dapati tiada seorang pun petugas di dalamnya, puas menunggu. Anis terpaksa menahan kesakitan teramat sa­ngat sehingga termuntah, setelah terdengar azan subuh baharu pembantu perubatan memanggil Anis masuk ke bilik rawatan,” katanya.

Katanya, setelah pemeriksaan dilakukan, Anis dibawa ke Zon Kuning untuk dimasukkan air dan rawatan selanjutnya di Zon Merah sehingga doktor membe­ritahu Anis berada dalam keada­an agak kritikal dan perlu dima­sukkan ke ICU.

“Setelah dimasuk ke ICU, keadaan jantung dan tekanan darah Anis makin lemah dan tiada harapan untuk pulih hingga dia meninggal dunia,” dakwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN