fbpx
Beberapa murid terpaksa belajar secara online di kebun sawit sambil ditemani ibu mereka ekoran masalah jaringan internet di Kampung Tamok, Bekok, Segamat, Johor semalam. – FARAHWAHIDA AHMAD

PdPR beri cabaran besar buat guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sukar menyediakan bahan pembelajaran berkualiti, kurang pengalaman mengajar secara online dan tidak boleh menilai kefahaman pelajar menjadi antara cabaran utama dihadapi guru-guru ketika ini.

Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail berkata, cabaran sukar itu bagaimanapun perlu ditempuh golongan pendidik sepanjang pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, proses pemindahan ilmu daripada sistem pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka kepada online adalah proses yang sukar apabila melibatkan jaringan internet.

“Kebanyakan guru memang berdepan pelbagai cabaran ketika PdPR dilaksanakan, ada (guru) yang tiada pengalaman untuk menyediakan bahan me­ngajar secara online berikutan kaedah itu baru setahun diwujudkan.

“Bagi guru-guru muda, mereka mungkin mahir dengan pelbagai aplikasi sekali gus menjadikan kaedah PdPR lebih menarik, namun ada guru yang tidak ada kemahiran sedemikian,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang bapa, Nor Irwan Kamis membantu dua anaknya belajar secara online di rumah mereka di Kampung Lama, Arau, Perlis semalam. – MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Nawi berkata, PdPR yang dilaksanakan lebih bersifat percubaan yang mana guru-guru cuba mengadaptasi kaedah pembelajaran mengikut norma baharu.

“Sebenarnya, guru-guru tiada pendedahan khusus mengenai PdPR dan semuanya hanya bersandarkan kepada sumber dan cara mengajar tersendiri.

“Kami berharap satu bengkel khas berkaitan PdPR dapat diadakan bagi membolehkan guru-guru berkongsi idea untuk me­ngajar,” ujarnya.

Menurut Nawi, kefahaman pelajar juga sukar ditafsir guru sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menilai keupayaan anak didik.

“Jika dalam kelas, kita dapat lihat reaksi pelajar dan boleh menilai tahap kefahaman mereka, namun melalui PdPR, ia sedikit mencabar. Kami perlu cari ­ka­edah terbaik untuk pastikan pelajar kekal fokus,” katanya.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puncak Jalil, Nurul Hidayah Mohd. Faizal mengikuti kelas Matematik secara online di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor kelmarin.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan ­Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kaedah pengajaran guru perlu lebih krea­tif bagi menarik minat pelajar.

“Dalam konteks ini, ia harus berbeza dengan kaedah konvensional yang mana guru harus berfikir di luar kotak untuk menarik minat pelajar khususnya sekolah rendah.

“Antara cara yang boleh dibuat ketika PdPR seperti guru memakai kostum watak-watak animasi dan ini akan menarik minat pelajar untuk kekal ­berada di dalam kelas maya,” ujar­nya.

Menurutnya, kaedah pembe­lajaran juga harus dipelbagaikan seperti mewujudkan kerja khusus dan bukannya pemberian nota semata-mata.

“Pemberian kerja khusus itu boleh dibuat melalui pesanan sua­ra menerusi aplikasi WhatsApp dengan memberi arahan kepada pelajar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN