fbpx
ZULKIFLI menemu bual Kok Seong di pejabatnya di UKM, Bangi baru-baru ini.

Orang muda buta sejarah makin tenat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, dalam satu kaji selidik yang dibuat sebuah organisasi memperlihatkan segelintir rakyat Malaysia gagal menjawab soalan asas berkaitan sejarah tanah air.

Sebahagian mereka yang ditemu bual itu tidak dapat memberikan tarikh penubuhan Malaysia dengan tepat, selain gagal menamakan nama rasmi bendera Malaysia. Kaji selidik ini tular di media sosial.

Keadaan ini sangat mengecewakan terutama dalam memperlihatkan refleksi jati diri generasi muda negara yang kian luntur dihakis pembangunan dan perubahan semasa.

Pengetahuan tentang sejarah negara adalah sesuatu yang sangat penting kepada setiap warga negara yang cintakan tanah air dalam mengetahui asal usul pembentukan negara bangsa.

Sejarah juga dapat memberi iktibar tentang kejayaan atau kesilapan masa lalu selain dapat mengeratkan perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan setiap rakyat berbilang kaum dan agama.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, ZULKIFLI MANZOR menemu bual Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong di pejabatnya di universiti berkenaan di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN) adalah seorang ilmuan terkenal negara yang lebih gemar menganggap dirinya sebagai profesor nasionalis berbanding profesor akademik.

KOSMO! AHAD: Ramai generasi muda pada masa ini dikatakan buta sejarah kerana kurang berminat untuk mendalami peradaban negara sendiri. Bagaimana Datuk melihat keadaan ini?
KOK SEONG: Gejala buta sejarah atau kurang berminat kepada mata pelajaran sejarah atau tiada kesedaran terutama dalam kalangan anak muda pada masa ini adalah fenomena sejagat.
Perkara ini sudah lama diperkatakan oleh ahli-ahli sejarah di seluruh dunia. Mereka telah lama membangkitkan fenomena ini sejak 2013. Tahapnya mungkin berbeza-beza mengikut negara.

Bagaimana kita boleh melihat tahap buta sejarah dalam kalangan rakyat Malaysia?
Bagi saya, kalau seseorang warganegara tidak tahu tarikh penubuhan Malaysia atau penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, itu sesuatu yang amat tenat.
Sepatutnya ia tidak berlaku kerana sebagai warganegara kita sekurang-kurangnya perlu tahu sejarah paling asas tersebut.

GEJALA buta sejarah atau kurang berminat dengan mata pelajaran tersebut dalam kalangan anak muda pada masa ini adalah fenomena sejagat. – GAMBAR HIASAN

Apakah kepentingan memahami sejarah tanah air sedangkan ia sesuatu yang telah lama berlalu?
Pengetahuan tentang sejarah amat penting dalam konteks pembentukan negara bangsa. Dalam proses itu kita mahukan insan yang ada semangat kebangsaan.
Membentuk jiwa Malaysia antara yang terpenting adalah pengetahuan tentang sejarah negara. Dengannya, kita dapat mengetahui masa lampau dan memahami masa sekarang sekali gus bersedia untuk masa hadapan.
Implikasi buruk jika setiap warganegara tidak lagi mengambil peduli tentang sejarah negara kesannya cukup negatif.
Terdapat ungkapan keramat mengatakan mereka yang tidak mempelajari daripada sejarah pasti akan mengulangi sejarah, khususnya yang buruk.

Apakah terdapat kekura­ngan pada sistem pendidikan negara membuatkan pelajar kurang berminat mendalami sejarah, sekadar untuk lulus peperiksaan?
Subjek sejarah perlu menarik minat pelajar. Saya beri contoh pelajaran tentang sejarah kemerdekaan lebih tertumpu kepada tokoh-tokoh elitis.
Bukan tidak boleh diangkat ­tokoh-tokoh ini, tetapi harus diimbangi dengan penceritaan gerakan masyarakat yang menyokong kemerdekaan pada ketika itu. Dengan itu pelajar kita akan dapat menghubungkan diri mereka dengan proses memperoleh kemerdekaan.
Kita pernah dengar bagaimana rakyat menyumbang barang kemas untuk mendapatkan kemerdekaan dan kisah rakyat berjalan kaki atau berbasikal untuk mengikuti pengumuman kemerdekaan.
Saya kira kisah-kisah begitu harus diangkat juga supaya masyarakat sekarang dapat ­mengaitkan sejarah itu dengan diri mereka. Generasi baharu akan tahu rakyat marhain juga ada bahagian dalam kemerdekaan tanah air dan bahagian itu cukup penting untuk dirasai mereka.

Sebilangan pihak berpendapat tidak semua sejarah perlu diangkat malah perlu dilupakan seperti sejarah hitam tragedi 13 Mei 1969. Apakah Datuk bersetuju dengan pandangan ini?
Ya dan tidak. Ya kita harus mengingatkannya kalau setiap kali peristiwa itu diungkit semacam suatu nasihat agar perkara sedemikian dijauhi. Tidak kalau setiap kali peristiwa itu diungkit ia semacam ugutan.
Tidak dapat dinafikan yang selalu mengungkit peristiwa 13 Mei dalam bentuk ugutan adalah ahli politik. Berbeza berbanding ahli akademik yang menceritakan mengenainya sebagai suatu ­peringatan agar tidak berulang.

kOK SEONG melihat dirinya sebagai profesor nasionalis.

Apakah agenda di sebalik perbuatan ahli politik yang mengungkit sejarah hitam negara dalam bentuk ugutan?
Mereka ini cuba menangguk di air keruh demi manfaat diri, parti politik atau gabungan politik mereka sedangkan ahli politik harus lebih bertanggungjawab dan bertindak sebagai negarawan.
Masalahnya apabila rakyat tiada pengetahuan yang baik tentang sejarah, maka boleh menjadi mangsa kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini. Mereka mengangkat sejarah yang palsu.
Sebagai contoh mengatakan segala-galanya perlu disamaratakan di negara ini, sedangkan bumi ini adalah bumi Melayu Islam. Ya ada kewujudan bersama, tetapi tunjang negara ini adalah Melayu Islam.

Seperti yang berlaku baru-baru ini, hendak mempromosikan negara ini wajib diutamakan entiti Melayu Islam. Tunjukkan gambar rumah ibadah lain, tetapi tiada langsung gambar masjid. Adakah hendak mempromosikan negara ini sebagai negara bukan Melayu ­Islam?
Sepatutnya gambar masjid harus pertama diangkat.

Adakah wajar Perlembagaan Negara dan Kontrak Sosial dijadikan salah satu subjek di sekolah?
Ya. Sangat bersetuju. Sekurang-kurangnya lima perkara dalam Kontrak Sosial yang semuanya ada dalam Perlembagaan Negara. Kerakyatan, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang ­Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kekuasaan, kedaulatan ­Raja-Raja Melayu.
Jadi itu semua ada dalam Perlembagaan Negara dan wajib diketahui sama ada melalui mata pelajaran sejarah atau melalui satu kurikulum untuk Rukun ­Negara.
Jika ia gagal difahami dengan baik oleh masyarakat menyebabkan kon­flik mudah tercetus. Saya kira rata-rata hari ini golongan muda tidak memahami sejarah dalam konteks Kontrak Sosial iaitu agama Islam sebagai agama negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sekarang kita tengok, tidak masuk akal (ada rakyat) tidak tahu babi itu haram dan najis dalam agama Islam. Ada logo halal pula. Sayang sekali kita hidup bersama-sama sudah 70 tahun tiada ‘common sense’, malahan masih ada yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Bagaimana pula Datuk melihat Bahasa Melayu sebahagian daripada sejarah penting ­tanah air?
Kalau kita tidak buta sejarah, kita akan tahu Bahasa Melayu yang kita angkat menjadi bahasa negara bertindak sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Itu identiti nasional negara kita. Jati diri kita akan lebih kuat dan tidak perlu pun meniru bahasa Indonesia.
Jadi saya kira jati diri bahasa ini juga penting kerana ia membawa kesedaran tentang sejarah.

Terdapat banyak filem ber­kenaan sejarah negara dihasilkan. Adakah ia dapat menarik minat masyarakat untuk mendalami sejarah tanah air?
Saya kira cukup penting juga filem yang ada unsur sejarah diangkat semula seperti Bukit Kepong. Bagaimanapun mengangkat fakta sejarah dalam unsur pendidikan mesti tepat. Tidak boleh tokok tambah kreativiti untuk tujuan pemasaran.
Sebagai contoh, filem sejarah sukan bola sepak pun tidak tepat. Fakta sejarah, tetapi mereka tambah gol. Penjaring gol diubah. Sepatutnya kekal kepada fakta sejarah. Kalau nak ada tambah sedikit untuk menghiburkan se­perti unsur humor, tetapi ini boleh kelirukan generasi ­baharu.

Datuk tokoh akademik yang diketahui lantang dalam memperkatakan isu sensitif negara sehingga pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa. ­Apakah datuk tidak berasa khuatir?
Ini adalah amanah ilmu. Saya boleh berdiam diri dan buat kerja akademik sahaja, tetapi selepas banyak tahun saya juga melihat diri sebagai profesor nasionalis. Sebagai profesor nasionalis ia tugas 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Sukar bermaksud nak bercakap tentang hal-hal yang jelek. Kotor maknanya saya mengata orang, orang pun mengata saya, tetapi saya teruskan juga sebab saya pegang amanah ini.
Kalau perkara ini tak diangkat, maknanya selama-lamanya kita pendamkan. Ia boleh menjadi bom jangka dan satu hari nanti dalam kata ‘nasi dah menjadi bubur’, tidak boleh buat apa-apa lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN