fbpx
NUR SHAHIDA berpeluang bermain-main dengan burung hantu semasa mengikuti liburan malam di Dubai Desert Conservation Reserve baru-baru ini.

Gemerlap liburan malam dalam gelap padang pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN selama satu jam dari pusat bandar Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Platinum Heritage Desert Camp yang terletak dalam kawasan Dubai Desert Conservation Reserve menimbulkan pelbagai persoalan dalam minda wanita berusia 34 tahun itu.

Manakan tidak, ini merupakan pengalaman kali pertama buat anak kelahiran Kajang, Selangor itu menikmati pengembaraan di gurun.

Biasanya, bagi pelancong yang berkunjung ke UAE, aktiviti meneroka padang pasir sering dilakukan pada waktu siang, namun berbeza dengan pengalaman dinikmati Nur Shahida Athiqah Mohd. Sakeri, ia pada waktu malam.

Bagaimanapun, perasaan gusar Nur Shahida Athiqah hilang sejurus tiba di pintu masuk gurun itu. Hamparan tanah halus yang dipancari cahaya bulan penuh membuatkan suasana sekitar terlihat indah.

“Sejujurnya, ini pengalaman pertama kali saya untuk meneroka keunikan pengembaraan gurun waktu malam.

“Apa yang pasti, saya begitu teruja untuk melihat hidupan liar, kerdipan bintang di langit dan merasai budaya rakyat UAE,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Kita lihat, dewasa ini, percutian di kawasan gurun atau padang pasir sering menjadi pilihan ramai menerusi pelbagai lokasi tarikan di negara-negara Arab seperti Al-Ula di Arab Saudi; Petra, Jordan; Dubai dan lain-lain dengan aktiviti menunggang unta, luncuran padang pasir berlatarbelakangkan panorama ‘hamparan jingga’.

Namun, percutian gurun di waktu malam mempunyai tarikan sendiri.

Sebelum memulakan pengembaraan di gurun malam itu, Nur Shahida Athiqah turut bergaya seperti orang tempatan apabila mengenakan ghutra (selendang) untuk melindungi muka daripada debu halus.

Nur Shahida berkata, pengembaraan gurun bermula dengan menaiki kereta antik Land Rover berusia lebih 70 tahun dan kenderaan itu merupakan antara tarikan istimewa di situ.

“Sebelum sampai ke kem untuk aktiviti cerapan bintang dan makan malam, kami turut berhenti di beberapa lokasi di tengah gurun untuk melihat hidupan liar termasuk kala jengking dan cicak gurun.

“Sebenarnya, aktiviti itu agak menyeramkan pada awalnya kerana kita sedia maklum kala jengking haiwan berbisa. Namun, selepas melihatnya menggunakan cahaya khas, bentuknya begitu mengagumkan,” ceritanya.

Pencerapan adalah salah satu aktiviti menarik yang disajikan di gurun pada waktu malam.

Nur Shahida juga menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang menyaksikan bulan merah atau ‘blood moon’ memandangkan fenomena itu jarang dilihat di Malaysia.

Pada masa sama, wanita itu juga menyifatkan aktiviti ditawarkan itu turut mengubah persepsinya terhadap konsep percutian sedemikian apabila mengutamakan elemen tradisional.

“Sebelum ini, saya membayangkan liburan malam di gurun akan dihiasi dengan aktiviti seperti ‘belly dancing’ dan penerokaan padang pasir menggunakan kereta pacuan empat roda, namun ia ternyata berbeza.

“Sebenarnya, aktiviti disediakan mereka lebih memberi sentuhan istimewa kepada saya apabila dapat mempelajari budaya Emirati selain tidak merosakkan alam sekitar,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman sama, Amrel Norman, 26, berkata, peluang menikmati suasana malam di padang pasir memberikan pengalaman luar biasa berikutan kebiasaannya aktiviti itu dibuat pada waktu siang.

“Jika dilihat, banyak video dan gambar yang dikongsikan pelancong ketika melakukan aktiviti adalah pada waktu siang, jika waktu malam, ia agak kurang sebelum ini.

“Bagaimanapun, penerokaan gurun pada waktu malam kini mula mendapat perhatian, selain menjadi antara aktiviti pilihan pelancong ketika berkunjung ke Dubai atau UAE secara amnya,” katanya.

Aktiviti di gurun pada waktu malam juga banyak melibatkan penceritaan dan persembahan.

Jelas Amrel, penerokaan gurun pada waktu malam menawarkan suasana berbeza memandangkan suhu lebih sejuk.

“Biasanya, UAE dikenali dengan suhu panas terutamanya pada waktu siang, jadi aktiviti meneroka gurun mungkin memberi sedikit cabaran jika dilaksanakan pada waktu itu.

“Berbeza dengan waktu malam, saya dapat menikmati suasana yang begitu nyaman, malah ada di sesetengah kawasan di gurun itu, suhunya turut mencecah sehingga 18 Celsius,” jelasnya.

Selain meneroka hidupan liar dan membuat cerapan bintang, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman bermain dengan burung hantu yang merupakan antara hidupan liar di UAE.

Selain itu, mereka juga dihidangkan dengan aneka menu enak sebagai hidangan makan malam termasuk stik daging premium selain menu tradisional Emirati lain seperti sup lentil serta salad.

Dalam pada itu, pemandu pelancong di Platinum Heritage Desert Camp, Jacob Sabir, aktiviti yang disediakan memberi fokus untuk membawa pengunjung merasai budaya dan warisan UAE.

“Percutian di gurun ditawarkan kami sebenarnya berbeza dengan apa yang ditawarkan pihak lain. Kami mahu pengunjung menikmati gurun pada tahap maksimum dan bukan memusnahkannya.

“Jika dilihat, ada syarikat yang menawarkan pakej bercuti di gurun dengan menyediakan aktiviti seperti ‘dune bashing’, tetapi ia tidak bagus untuk alam semula jadi,” jelasnya.

Difahamkan, aktiviti ‘dune bashing’ seperti menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu laju di atas gurun berupaya merosakkan hampir 90 peratus hidupan liar di situ.

Untuk rekod, gurun padang pasir di UAE menjadi habitat kepada beberapa spesies hidupan seperti kala jengking, labah-labah, musang, cicak gurun, burung hantu, ular dan lain-lain.

Susulan itu, Jacob berkata, pihaknya lebih memilih untuk membawa pengunjung menikmati budaya dan warisan UAE melalui penceritaan, penerokaan, persembahan serta kepelbagaian makanan.

“Selain membawa pengunjung meneroka hidupan liar dan melihat bintang pada waktu malam, kami juga menyediakan persembahan tradisional untuk menceritakan budaya masyarakat Emirati.

“Persembahan disediakan termasuk tarian dengan senapang palsu yang menceritakan bagaimana UAE bermula sebagai sebuah negara hingga menjadi antara bandar tersibuk dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN