fbpx
ARSENAL memerlukan kemenangan berdepan City untuk menambah keyakinan mengenai kemampuan mereka memburu kejuaraan musim ini. - AFP

EPL: Detik penentu nasib Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui aksi bertemu Manchester City di Emirates tengah malam ini menjadi detik penentu buat pasukannya dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Arsenal gagal merangkul gelaran itu musim lalu selepas kekurangan dua mata berbanding City dan ketika ini The Gunners memiliki kelebihan enam mata di kedudukan kedua berbanding The Citizens di kedudukan keempat.

Aksi pertama pada September lalu menyaksikan Arsenal mensia-siakan kelebihan dua gol apabila terikat 2-2 menentang City termasuk gol penyamaan menerusi John Stones pada minit ke-98.

“Kemenangan menentang City akan memberikan tonik tambahan buat kami memburu gelaran musim ini. Memenangi perlawanan besar sentiasa menjadi satu perkara yang istimewa. Setiap kali kami menentang pencabar utama, ia akan memberikan kami sesuatu yang lebih,” katanya.

Arsenal berjaya mencatat rekod aksi tanpa kalah dalam 13 perlawanan liga setakat ini dan City yang berdepan masalah prestasi sebelum ini kembali menemui sentuhan apabila mencatat empat kemenangan dan satu seri dalam lima aksi terakhir.

Dalam pada itu, Arteta mengakui belum membuat keputusan sama ada menyenaraikan penjaga gol utamanya, David Raya yang mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Girona pada Rabu lalu.

“Masih belum dapat diputuskan mengenai David. Kami akan ada satu lagi sesi latihan dan kami akan lihat perkembangannya,” ujarnya.

Selain Raya, Arsenal hampir pasti kehilangan khidmat Gabriel Jesus dan Bukayo Saka yang masih mengalami kecederaan, manakala Ben White masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN