HULU TERENGGANU – Hasrat seorang lelaki untuk bangkit memperbaiki kehidupan keluarganya tidak kesampaian apabila projek kolam ikan yang menjadi punca rezeki musnah akibat banjir besar baru-baru ini.
Lebih menyedihkan apabila Tuan Ismail Tuan Muda, 54, perlu menguruskan isterinya yang terlantar sakit akibat kanser otak tahap empat sejak lapan tahun lalu.
Katanya, ujian yang menimpa itu membuatkan dia semakin bingung untuk memikirkan soal kewangan keluarga.
“Sebelum terlibat dengan projek kolam ikan, saya mengusahakan bengkel kimpalan besi tetapi terpaksa ditutup kerana perlu menumpukan perhatian kepada isteri, Rasidawati Puasa, 49, yang disahkan menghidap kanser otak pada tahun 2017.
“Pada mulanya dia sering mengadu sakit kepala sebelum tiba-tiba rebah di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Getang di sini baru-baru ini.
Tuan Ismail berkata, dia tekad menutup bengkel kimpalan untuk menjaga isterinya selain empat anak yang masih kecil.
Katanya, dia kemudiannya mengusahakan kolam ikan demi kelangsungan hidup sebelum diuji dengan banjir besar yang menyebabkan lebih 30,000 ekor ikan tilapia, patin dan baung diternaknya mati pada 2022.
“Sejak itu saya sukar untuk bangkit. Saya cuma mampu bekerja kampung dan duit simpanan pula kini sudah kehabisan.
“Kadangkala saya tidak mampu berikan anak belanja sekolah selain hanya makan mi segera untuk mengalas perut,” katanya.
Tuan Ismail berharap ada pihak bermurah hati membantunya membuka kembali sangkar ikan untuk diusakan.
“Kami menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM3,000 setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta lampin pakai buang daripada Tabung Darul Iman,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank Tuan Ismail Tuan Muda 11500-41-00014581-1 (Bank Simpanan Nasional) atau hubunginya di talian 016- 6563440.
















