KEJADIAN seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada Jumaat lalu, mengundang simpati rakyat di negara ini.
Tidak sanggup rasanya menonton video lelaki itu dipukul. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pun menahan beberapa individu, manakala mangsa sedang menerima rawatan di hospital.
Insiden tersebut mendapat simpati pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik yang menawarkan khidmat untuk menegakkan keadilan kepada mangsa.
Bahkan, ia mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau berharap insiden berkenaan tidak berulang lagi dan menjadi pengajaran buat semua.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin ketika menziarahi mangsa berkata, sikap segelintir individu tergamak memukul OKU dalam khalayak ramai sementara yang lain pula hanya melihatnya amat merisaukan Anwar.
Siasatan masih dijalankan dan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas. Maklum balas orang ramai di media sosial pula, ada yang menyalahkan pihak-pihak lain termasuk individu menderita sakit mental.
Hakikatnya kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental masih rendah. Malah, ada segelintir keluarga, rakan dan mereka di sekeliling pesakit mental langsung tidak ambil peduli.
Berdasarkan komen kejam dan tidak masuk akal, mereka langsung tidak mahu memahami keadaan si penderita sedangkan pesakit juga berhak menjalani kehidupan bermasyarakat.
Isu kesihatan mental adalah tanggungjawab semua dan masyarakat seharusnya cakna tentang penyakit ini yang mana ia perlu dirawat, sama seperti penghidap kanser.
Ini senada dengan Penyelaras Program Kesihatan Mental & Pencegahan Bunuh Diri, Dewan Muda Alternatif, Sollahuddin Ikram bahawa, masyarakat memainkan peranan penting dalam memahami dan menjiwai isu kesihatan mental yang semakin meruncing di negara ini.
Menurutnya, perhatian, sokongan dan empati daripada keluarga, rakan serta komuniti boleh memberikan impak besar kepada individu yang terlibat.
“Pemahaman lebih mendalam mengenai kesihatan mental dapat mengurangkan stigma dan melahirkan suasana lebih inklusif. Jadi mereka yang terkesan tidak merasa terasing atau terabai.
“Usaha pembelajaran dan kesedaran ini mesti digalakkan supaya masyarakat dapat bertindak dengan lebih bijak, prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyeru masyarakat menghayati nilai toleransi dan empati sebagai asas hubungan sosial.
“Peranan kita bersama adalah untuk memupuk kesedaran, menghapuskan stigma dan menyediakan sokongan konsisten kepada mereka yang memerlukan baik dari segi fizikal mahupun emosi,” katanya.
Kesimpulannya, semua orang berhak hidup.














