KEMAMAN – “Kenapa layan suami saya sebegitu rupa? Dia juga manusia seperti orang lain, bukannya haiwan.”
Demikian ujar Faridah Abdul Karim, 44, isteri lelaki kelainan upaya (OKU) kategori mental, Ahmad Nor Al Faizan berhubung kejadian suaminya dibelasah beberapa individu di Padang Astaka, Chukai, di sini pada Jumaat lalu.
Faridah berkata, hatinya hancur menonton video yang memaparkan suaminya diperlakukan dengan kejam termasuk dicurahkan mi goreng di atas kepala.
Menurut ibu kepada lima anak itu, tindakan beberapa individu memukul dan menyepak suaminya disifatkan sebagai tidak berhati perut.
“Suami saya sudah berulang kali memohon maaf, namun mereka (pelaku) tetap memukul suami saya.
“Sewaktu suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih kerana dicurahkan mi goreng, dia sekali lagi disepak di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini semalam.

Terdahulu, wanita itu menerima kunjungan daripada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Fadini Rahim.
Dalam kunjungan itu, Faridah dan anak-anaknya berbual dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menerusi panggilan video.
Akmal turut menyatakan komitmen pihaknya bagi memastikan mangsa mendapat keadilan dan pelaku kes itu menerima hukuman yang setimpal.
Faridah berkata, sekiranya benar suaminya bersalah dan sengaja melanggar gerai makanan pada hari kejadian, perkara tersebut seharusnya diselesaikan secara baik.
Dia juga bersedia membayar ganti rugi sekiranya itu yang dimahukan peniaga terbabit.
“Tidak perlu layan suami saya begitu. Terima kasih kepada beberapa individu yang membantu menghalang suami saya daripada terus dipukul,” katanya.
Faridah memberitahu, selama 25 tahun dia berkongsi hidup dengan Ahmad Nor Al Faizan, suaminya tidak pernah meninggalkan solat dan sering ke surau untuk berjemaah walaupun kurang sihat.
Dia turut berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi menawarkan khidmat guaman percuma untuk keluarganya bagi mendapat keadilan.
Kosmo! semalam melaporkan gara-gara terlanggar gerai sehingga menyebabkan makanan terjatuh, seorang lelaki OKU mental diserang sebelum dibelasah beramai-ramai dalam kejadian di Padang Astaka, Chukai.
Dalam insiden pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa turut diheret beberapa individu di pasar tani terbabit. Susulan kejadian itu, polis memberkas tiga lelaki termasuk seorang peniaga berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut. -KOSMO! ONLINE














