TIGA negeri di bawah pemerintahan Pas iaitu, Kelantan, Terengganu serta Kedah dilihat sebagai negeri yang majoritinya bumiputra Melayu ternyata mempunyai kekuatan serta kelemahan masing-masing.
Kelantan yang telah ditadbir oleh parti tersebut sejak lebih 30 tahun lalu nampaknya sudah terlalu selesa dengan pembawakan Pas.
Walau pelbagai cubaan serta serangan untuk Kelantan, nampaknya usaha tersebut tidak menjadi.
Namun, Kelantan yang dahulunya sangat terkenal dengan kebudayaan serta pusat pelancongan terkemuka semakin hari semakin tandus, malah semakin merosot dalam segala bab.
Sukan misalnya, belia Kelantan kebiasaannya mencipta nama bersama pasukan lain. Ramai baka Kelantan yang terpaksa mencari induk lain untuk bersinar.
Dengan memiliki belia yang hebat dan kasar, tetapi dalam acara Sukan Malaysia baru-baru ini, Kelantan berada di kedudukan bawah.
Begitu juga Kedah, negeri jelapang padi yang cukup gah dalam arena bola sepak mereka selama ini terus dirundung malang, malah dikatakan gaji pemain juga sudah tidak dibayar.
Pembangunan Kedah yang agak rancak selama ini, nampaknya agak perlahan dan terbantut. Tidak mahu menuduh tetapi agaknya ramai yang perasan dan tahu di mana puncanya.
Namun, lain pula yang berlaku kepada Terengganu. Walaupun telah lama dipimpin oleh Barisan Nasional sebelum ini, Terengganu di bawah pentadbiran Pas tidak nampak janggalnya.
Malah, pentadbiran mereka nampaknya semakin bijak dalam merancang kebaikan, perkembangan ekonomi serta pembangunan terhadap rakyatnya.
Kebijakan pembangunan dalam Islam memiliki dasar filosofi yang unik dalam pemerintahan Pas di Terengganu telah menempatkan kesejahteraan umat manusia dan rakyatnya sebagai tujuan utama, sejalan dengan prinsip-prinsip syariah.
Dari segi sukan, pendidikan, pelancongan dan ekonomi nampaknya Terengganu tiada masalah bahkan boleh dilihat pencapaian mereka sangat membanggakan.
Jangan diberi alasan Terengganu kaya kerana Kelantan dan Kedah juga adalah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan ekonomi penduduk setempat.
Penceramah bebas, Ustaz Rizalman Ahmad berkata, pelembagaan dalam Islam mencakupi lembaga-lembaga seperti keluarga, masyarakat dan negara yang semuanya diarahkan untuk mencapai tujuan moral dan kesejahteraan umat manusia.
Katanya, penekanan pada nilai-nilai seperti keadilan, kesetaraan dan solidariti menjadi dasar fungsi dan peranan kelembagaan dalam Islam. Kemudian, fokus beralih ke kebijakan pembangunan dalam Islam.
Jelasnya, kebijaksanaan pembangunan disusun dengan mempertimbangkan aspek-aspek ekonomi, sosial dan politik serta selalu mengacu pada prinsip-prinsip etika Islam.
“Masyarakat selalu berusaha untuk mewujudkan keadilan sebagai prasyarat untuk menghadirkan kesejahteraan dan kemakmuran menggunakan berbagai pendekatan,” katanya.
Tambahnya, ada lima fokus utama pembangunan dalam Islam iaitu pembangunan berlandaskan tauhid, khalifah tazkiah, fizik dan moral.
“Fokus utama pembangunan adalah manusia sebagai subjek dan objek pembangunan bagi mencapai kesejahteraan. Seterusnya ia melibatkan fungsi dan peranan negara dan akhir sekali skala waktu pembangunan meliputi dunia dan juga akhirat,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















