PROGRAM Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) telah menjadi salah satu agenda utama dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Bagi menyahut agenda itu, Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) baru-baru ini telah menerima jemputan menjalani program 2024 International Exchange Program In TVET di Seoul, Korea Selatan.
Jemputan tersebut adalah hasil lanjutan program kolaborasi bersama pihak Seoul Metropolitan Office Of Education (SMOE) yang berbentuk bengkel dron dan robotik.
Program berkenaan telah diadakan di SMTKL pada Ogos tahun lalu dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Guru Penasihat Inovasi SMTKL, Mohd. Syazwan Mohd Nor, seramai 12 murid yang juga peserta kolaborasi terdahulu telah dipilih menjadi pasukan delegasi tersebut.
“Jemputan program berkenaan merupakan salah satu usaha pihak Korea Selatan dalam memperkenalkan teknologi serta kebudayaan masyarakat mereka menerusi bahasa.
“Para peserta telah diberi kelas bahasa Korea secara percuma selama empat minggu yang dikendalikan oleh pihak Korean Education Center di Kuala Lumpur secara dalam talian,” katanya kepada K-Remaja.
Program di Seoul itu mendapat tajaan penuh daripada pihak SMOE yang meliputi penginapan, makanan, tiket penerbangan termasuk keseluruhan aktiviti dijalankan.
Mohd. Syazwan bersama seorang lagi pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional ditugaskan untuk menjaga kebajikan murid serta mengeratkan kerjasama bersama pihak SMOE dalam pendidikan TVET.
Fokus utama program tersebut adalah untuk menjalani lawatan serta mengikuti bengkel di tiga buah sekolah teknikal ternama di Seoul.
Sekolah tersebut ialah Gyeonggi Mechanical Technical High School (GMTHS), Seoul Robotic High School (SRHS) dan Seoul Technical High School (STHS) yang mempunyai bidang kebitaraan khusus dalam menawarkan pembelajaran TVET.

Menerusi lawatan di GMTHS, para pelajar telah dibawa melawat prasarana makmal dan bengkel berteknologi tinggi.
Antaranya adalah prasarana automasi robotik industri, bahagian baik pulih, pemasangan dan simulator dron, automasi pengangkutan serta bahagian juruterbang dron industri.
“Di sekolah ini, peserta rombongan dapat merasai sendiri pengalaman makan tengah hari bersama murid-murid SRHS dan melihat tatacara pengendalian kebersihan dewan makan yang amat teratur.
“Sekolah terakhir yang dilawati adalah STHS yang juga merupakan sekolah teknikal tertua di Seoul dengan sejarah hampir 120 tahun.
“STHS memiliki kompleks sekolah yang amat besar dengan 14 bangunan dan kepelbagaian bidang pengajian,” katanya.
Antara bidang yang ditawarkan adalah mekanikal, automotif, reka bentuk, awam dan pertukangan, elektrik dan elektronik, tekstil dan fesyen serta fotografi dan penerbitan digital.
Pelajar SMTKL juga telah diberi peluang untuk mempelajari aktiviti penghasilan prototaip menerusi percetakan tiga dimensi (3D) dengan menggunakan mesin keluaran Korea Selatan, SINDOH.
Selain aktiviti lawatan rasmi ke sekolah-sekolah teknikal, pelajar juga diberi peluang untuk mempelajari serta mengenali aktiviti kebudayaan masyarakat tempatan serta mengunjungi lokasi-lokasi menarik di Seoul.
Sementara itu, Pengetua SMTKL, Ahmad Nzryshah Mohamed Khalid menyifatkan program itu merupakan rezeki dan peluang keemasan bagi murid-murid sekolahnya memperkayakan ilmu pengetahuan dalam bidang TVET.
“Pihak SMTKL amat berterima kasih di atas peluang dan pengalaman yang telah diberikan oleh SMOE.
“Pastinya, ia telah memberi impak yang amat besar terhadap pengetahuan semua peserta.
“Semoga akan ada lebih banyak lagi peluang menimba ilmu seperti ini pada masa hadapan, ” katanya.














