PASIR PUTEH – Penduduk yang tinggal di pesisir Pantai Kelantan khususnya Pantai Bisikan Bayu Semerak di sini dan Pantai Damak, Bachok dekat sini diselubungi keresahan susulan fenomena air laut pasang besar yang melanda penempatan mereka sejak kelmarin.
Kejadian itu menyebabkan kediaman penduduk digenangi air masin sedalam 0.3 meter.
Seorang penduduk Pantai Bisikan Bayu, Nik Awang, 83, berkata, kawasan rumahnya mula dilimpahi air masin bermula pukul 6.30 petang sehingga awal pagi.
Katanya, dinding rumahnya turut bergegar setiap kali dibadai ombak selain berdepan tiupan angin kencang serta hujan lebat.
“Situasi itu sungguh menakutkan sehinggakan saya terpaksa menyelamat diri dengan bermalam di rumah saudara-mara kerana bimbangkan keselamatan diri.
“Keadaan laut yang bergelora sejak Disember lalu menyebabkan hakisan tebing semakin serius. Rumah saya semakin dekat dengan laut,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Luqman Mohd. Noor, 30, memberitahu, dia terpaksa berpindah ke rumah saudara terdekat kerana bimbang soal keselamatan.
Katanya, semasa kejadian rumahnya ditenggelami air sedalam 0.3 meter.
Bagi penduduk di Kampung Pantai Damak, Abdul Rashid Idris, 73, meminta pihak berkenaan membenteng tebing bagi mengelakkan air laut masuk ke rumah ketika ombak besar.
“Kami berdepan dengan dua keadaan iaitu limpahan air masin dan angin kencang yang sering menerbangkan atap rumah. Kami tiada pilihan kerana tiada tempat lain untuk berpindah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Roshdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara tersebut selain mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.
“Kami akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran mencari penyelesaian berkait hakisan saban tahun yang memusnahkan banyak prasarana yang disediakan pihak berkuasa tempatan di pesisir pantai,” katanya.














