fbpx
memori penggunaan walkman tersemat dalam ingatan generasi terdahulu termasuk Dyrga. – Gambar hiasan

Walkman pemberian abang cetus minat muzik Dyrga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH radio kaset mini (walkman) berserta fon telinga pemberian abang menjadi gajet pertama dan paling bermakna kerana sentiasa menemani perjuangannya menjadi seorang penyanyi.

Ia juga menjadi pencetus kepada minat selebriti ini untuk berkecimpung dalam dunia muzik selepas mendapat inspirasi daripada karya-karya band muzik antarabangsa, Scorpion.

Berkongsi tentang gajet itu, vokalis band dari Indonesia, Dadali, Dyrga, 44, mengatakan bahawa walkman yang diperoleh ketika berusia belasan tahun itu banyak menyimpan kenangan sedih terutama saat mula-mula menjadi artis.

“Semasa ada walkman dulu saya bangga bila guna kerana ia merupakan satu trend, apabila keluar, perlu sangkut peranti itu di seluar sambil mengenakan fon telinga.

“Dengan walkman tersebut saya banyak dengar lagu kumpulan Scorpion dan dari situlah saya tertarik mahu menjadi artis dan berkarya,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Aishiteru itu, bermula daripada walkman itu juga dia menumpukan pemilikan gajet untuk kegunaan karier muziknya seperti mikrofon dan alat audio serta rakaman

Katanya, dia lebih melaburkan bajet untuk gajet-gajet tersebut kerana mahu menghasilkan lebih banyak karya berkualiti di samping menyampaikan nyanyian dengan lebih baik dan mengesankan para pendengar.

Ulasnya, semua pemuzik perlu mempunyai gajet nyanyian dan muzik yang berkualiti kerana ia satu keperluan bagi menjaga kualiti serta prestij.

“Saya memang mementingkan kualiti untuk gajet muzik dan audio. Hari ini saya memiliki gajet-gajet dari TC-Helicon yang memang sinonim untuk rakaman muzik serta mikrofon persembahan.

“Saya juga memiliki mikrofon condenser yang berharga sekitar RM250,000 dan semua itu menjadi pendukung kepada karya berkualiti serta karier muzik secara umumnya,” ujarnya.

Kata Dyrga, meskipun berkecimpung dalam dunia muzik sebagai penyanyi, seorang artis perlu sedikit sebanyak tahu selok- belok tentang teknologi dalam dunia rakaman.

Selain gajet muzik, Dyrga juga tidak terkecuali mengikut peredaran dunia teknologi komunikasi dengan memiliki telefon bimbit hinggalah telefon pintar masa kini.

Katanya, sejak telefon bimbit juga menjadi trend, dia sudah berangan-angan ingin memiliki semua jenama yang ada di pasaran.

Lebih menyukai peranti Android kerana lebih mudah digunakan dan mesra pengguna, antara telefon terawal yang pernah dimiliki oleh Dyrga adalah daripada jenama Samsung.

“Saya banyak menggunakan jenama telefon pintar Samsung antaranya model Fold 1 dan Fold 3, selain itu saya juga miliki jenama lain daripada produk Apple iaitu Iphone 12.

“Meskipun begitu, saya lebih gemar menggunakan peranti Android kerana selain mesra pengguna, ia juga mempunyai akses kepada lebih banyak aplikasi percuma terutama untuk kegunaan dalam bidang muzik,” kongsinya.

Kata Dyrga lagi, dalam penggunaan gajet seperti telefon pintar tidak kira Android atau iOS, apabila berkaitan isu keselamatan ia bergantung kepada pengguna itu sendiri.

Jelasnya, setiap pengguna perlu menggunakan peranti dengan bijak dan tidak membuka perkara bukan-bukan sehingga mudah terdedah kepada serangan virus.

Dyrga juga mengatakan bahawa dalam banyak telefon pintar yang terbaharu dalam pasaran, dia kini begitu mengidamkan untuk membeli model Samsung Fold 6 pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN