fbpx
Gambar hiasan

Ramai takut HMPV jadi macam Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH lima tahun berlalu negara kita dikejutkan dengan penularan pandemik Covid-19 yang meragut nyawa sebanyak 36,387 orang.

Jujurnya, masih segar lagi dalam ingatan saya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana berbulan-bulan lamanya saya terpaksa terpisah dengan keluarga, apatah lagi mereka yang kehilangan orang tersayang angkara wabak tersebut.

Kini, negara di Asia Timur berdepan satu lagi ancaman virus yang menyerang sistem pernafasan iaitu human metapneumovirus (HMPV) apabila penularan virus ini semakin meningkat di China.

Susulan peningkatan HMPV itu, orang ramai mula meluahkan perasaan bimbang sekiranya keadaan seperti semasa pandemik Covid-19 berulang kembali.

Bagaimanapun, HMPV bukanlah satu penyakit baharu, malah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan KKM telah mengesan 327 sampel positif HMPV sepanjang 2024 berbanding 225 pada 2023.

Beliau berkata, virus tersebut merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.

“Di Malaysia, jangkitan HMPV juga tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, HMPV mempunyai simptom seakan-akan Covid-19 ataupun influenza, namun meningkat terutama semasa musim sejuk.

“HMPV ini bukan virus baru, cuma baru-baru ini kes meningkat di China terutama dalam kalangan kanak-kanak menyebabkan ramai yang bimbang.

“Simptom HMPV lebih kurang Covid-19, individu yang mengalaminya akan bergejala seperti batuk, demam, malah HMPV juga boleh berjangkit melalui pernafasan,” katanya.

Dr. Sharifa Ezat berkata, meskipun HMPV dianggap jangkitan virus tahap sederhana, namun orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa prihatin dengan tahap kesihatan masing-masing.

“Sentiasa basuh tangan, pakai pelitup muka jika perlu. Pastikan dapatkan vaksin untuk Covid-19 dan influenza.

“Sekiranya ada menunjukkan simptom-simptom yang anda sendiri tidak pasti sama ada sudah berjangkit influenza ataupun Covid-19, pergi jumpalah doktor dengan kadar segera untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN