fbpx
KEBANYAKAN graduan universiti hari ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. – Gambar hiasan

K2

Dimensi cabaran kerjaya Gen Z hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Memegang segulung ijazah dengan mengenakan jubah konvokesyen bersama ‘mortar board’ di atas kepala merupakan impian setiap mahasiswa baik dari universiti awam atau swasta. Namun, tahukah para graduan ini terhadap cabaran yang sedang menanti mereka untuk melangkah masuk ke alam pekerjaan? Hal ini kerana dimensi cabaran pekerjaan generasi Z (Gen Z) pada hari ini berbeza dengan generasi sebelumnya.

Landskap pekerjaan dinamik memberi tekanan kepada para graduan terutamanya isu gaji rendah di era teknologi moden dan kos sara hidup yang tinggi.

Selain itu, peluang pekerjaan rendah mengikut kelulusan serta kemahiran graduan dilihat antara cabaran pekerjaan yang membelenggu anak muda pada masa kini.

Isu gaji rendah masih lagi kekal menjadi cabaran kepada graduan baharu dalam bidang pekerjaan, lebih-lebih lagi di sektor swasta. Sebelum ini, pernah dilaporkan oleh Tinjauan Ekonomi 2024, lebih 70 peratus daripada graduan yang bekerja memperoleh gaji di bawah RM2,000 sebulan.

Perkara ini turut melibatkan graduan yang berkelulusan profesional seperti peguam, akauntan dan jurutera.

Isu ini perlu dipandang serius kerana peningkatan kos sara hidup, lebih-lebih lagi di bandar sehingga menyebabkan pekerja terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan gaji untuk perbelanjaan asas dan tidak mampu membuat simpanan bagi perlindungan keselamatan sosial mereka kelak.

Di peringkat kerajaan, terdapat beberapa akta seperti (Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 [Akta 262]) yang bertujuan mengawal selia penetapan serta pembayaran gaji kepada pekerja.

Namun isu gaji rendah masih lagi membelenggu kebanyakan pekerja pada hari ini. Usaha berterusan kerajaan masih lagi diteruskan melalui Dasar Gaji Progresif yang dibentangkan pada akhir tahun lepas.

Melalui dasar ini, pihak kerajaan akan menyediakan insentif berbentuk tunai yang akan dibayar mengikut kadar dan kumpulan pekerja.

Dasar Gaji Progresif bertujuan meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan lebih seimbang.

Usaha tersebut diharapkan dapat menyelesaikan masalah gaji rendah, namun dasar bersifat sukarela ini hanya dapat direalisasikan dengan penyertaan serta sokongan padu daripada majikan.

Selain isu gaji rendah, peluang pekerjaan yang tidak sepadan dengan Ijazah dimiliki graduan dilihat sebagai cabaran utama.

Disebabkan itu, para graduan kini lebih gemar memilih pekerjaan gig seperti pemandu p-hailing, e-hailing atau kerja tidak formal. Pekerjaan gig tidak memerlukan pencapaian akademik yang tinggi dan waktu kerja rigid seperti menggunakan sistem ‘clock-in’ dan ‘clock-out’ sehingga menarik minat graduan.

Isu ketidaksepadanan pekerjaan dan kemahiran mempunyai kesan negatif, bukan sahaja kepada individu yang tidak dapat menjana pendapatan tinggi setimpal dengan Ijazah dimiliki.

Bahkan, ia menjadi penyumbang kepada kelembapan ekonomi dan kemajuan apabila negara kekurangan tenaga kerja mahir serta profesional. Faktor kekurangan pekerjaan dan ketidaksepadanan kemahiran dilihat sebagai ‘push factor brain drain’ ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dan sepadan dengan kemahiran dimiliki.

Cabaran pekerjaan graduan masa kini juga diukur melalui penguasaan kemahiran insaniah. Kebanyakan industri pada hari ini tidak hanya menekankan penguasaan kemahiran teknikal semata-mata, malah memerlukan graduan menguasai kemahiran insaniah.

Hal ini kerana kemahiran insaniah merupakan asas penting yang perlu dikuasai agar graduan lebih berdaya saing.

Komponen kemahiran insaniah merangkumi komunikasi, pemikiran kritikal, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, kepimpinan, kerja berpasukan dan juga pengurusan masa.

Sebagai contoh, penguasaan kemahiran pengurusan masa berupaya membantu individu dalam menyempurnakan kerja yang harus diutamakan.

Oleh itu, graduan harus bersiap siaga menguasai kemahiran insaniah semasa tempoh pengajian agar dilihat sebagai seorang berkemahiran tinggi.

Secara praktikal, kebanyakan program pengajian mewajibkan pelajar menjalani latihan industri dalam tempoh pengajian bagi membolehkan mereka mengaplikasi kemahiran insaniah, selain kemahiran teknikal.

Pembentukan kemahiran insaniah haruslah dimulai di peringkat awal sekolah dan berterusan di setiap peringkat pendidikan. Selain itu, institusi pendidikan haruslah bekerjasama dengan pihak industri dalam mengenal pasti keperluan kemahiran insaniah dan teknikal yang diperlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN