KUALA LUMPUR – Harga seekor harimau Malaya atau pak belang di pasaran gelap mencecah RM200,000 seekor, menyebabkan haiwan yang semakin pupus itu terus menjadi buruan sindiket pemburu haram.
Taring, kepala, kuku, misai, gigi, tulang dan kulit harimau belang antara bahagian badan haiwan itu yang mendapat permintaan tinggi.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau Malaya kini berdepan ancaman serius akibat pemburuan haram yang terus aktif.
Katanya, setiap bahagian haiwan itu mempunyai nilai tinggi, sekali gus membuatkan pemburu haram tidak gentar berdepan ancaman dan tindakan undang-undang.
“Harga seekor harimau belang dewasa di pasaran gelap mencecah RM200,000, manakala setiap bahagian haiwan itu dijual dengan harga paling murah pun RM500.
“Harimau belang ini dijual di pasaran gelap bagi kegunaan perubatan tradisional kononnya boleh menyembuhkan penyakit selain dijadikan perhiasan,” katanya kepada Kosmo!.
Abdul Kadir berkata, ada juga taring harimau belang yang dijadikan tangkal azimat yang kononnya membawa tuah atau menjadikan pemakainya kebal.
Disebabkan itu katanya, ada individu yang berani mencuri taring harimau apabila haiwan itu mati dilanggar kenderaan di jalan raya,
“Bagaimanapun, tiada sebarang kajian saintifik membuktikan dakwaan kepercayaan sesetengah masyarakat itu terhadap keajaiban bahagian badan harimau belang,” katanya.

Katanya, nilai harimau belang di pasaran gelap sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan serta tiada nilai spesifik harga.
Ujarnya, perubahan harga itu disebabkan beberapa faktor antaranya operasi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar yang ketat.
“Semakin susah haiwan ini diburu selain penguatkuasaan yang sangat ketat, maka semakin mahal harga.
“Hidupan liar lain yang turut mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap ialah beruang matahari, gajah, harimau kumbang, harimau dahan dan tenggiling,” katanya.
Katanya, penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) di Semenanjung yang berkuat kuasa 1 Februari 2023 mengenakan hukuman dan denda yang lebih tinggi terhadap pesalah jenayah hidupan liar.
Penguatkuasaan seperti Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan bermula 2019 sehingga kini melalui kerjasama polis, kastam, Jabatan Perhutanan dan lain-lain agensi telah berjaya mengurangkan kegiatan pemburuan haram hidupan liar.
“Berdasarkan rekod Perhilitan dari 2019 sehingga Oktober tahun lalu, 22 tangkapan dilakukan melibatkan 16 warga tempatan dan enam warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pemburuan haiwan.
“Dalam tempoh itu, kita berjaya merampas seekor harimau hidup, seekor yang sudah mati serta 20 bahagian daging, lapan taring serta gigi, 20 keping kulit, dua penis, tiga kepala, empat misai, 36 kuku dan 258 tulang,” ujarnya.
Katanya, susulan bilangan harimau belang yang semakin menyusut, Perhilitan sedang menjalankan pembiakan melalui projek Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan.
Ia dilakukan melalui Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar dengan kerjasama pihak zoo dan pameran tetap di Semenanjung.














