fbpx
MAKIN ramai berani tayang pasangan sejenis sekarang.

Makin ramai berani tayang cinta sejenis di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEDIA sosial yang dahulunya berfungsi sebagai platform untuk berhubung, berkongsi maklumat, berniaga serta menonjolkan diri secara maya, namun kini menjadi ruang bagi mengagungkan cinta sejenis.

Jika dahulu hubungan terlarang itu berlangsung secara sembunyi, kini sebahagian kelompok berkenaan tiada lagi segan silu memaparkan kemanisan hubungan secara terbuka.

Mungkin golongan gay, lesbian atau biseksual ini berpendapat bahawa mereka juga berhak untuk bahagia seperti orang lain dan ia adalah pilihan setiap individu yang selayaknya dihormati.

Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Profesor Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, golongan tersebut berani tampil di media sosial dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan masyarakat selain taksub dengan diri sendiri.

“Pasangan sejenis ini berani tayang hubungan mereka secara terang-terangan sebab mereka fanatik dan taksub dengan diri sendiri atau pasangan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Golongan ini juga beranggapan mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan gaya hidup seperti itu adalah hak yang patut dimiliki,” katanya.

Menurut beliau, golongan itu seharusnya memahami bahawa gaya hidup berkenaan adalah bertentangan dengan agama dan norma masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

“Kena ingat kesannya terhadap ibu bapa, keluarga sebab nanti orang akan kecam dan hina. Kalau dah bertaubat pun kesannya tetap ada sebab apa yang terdedah di media sosial sukar untuk dihapuskan.

“Mereka kena faham terutamanya yang beragama Islam bahawa masyarakat dan agama kita tidak boleh terima gaya hidup songsang begitu, tidak seperti di negara barat,” ujarnya.

Mohammad Aziz menegaskan, perkongsian kandungan tidak bermoral meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat khususnya golongan muda.

“Amat membimbangkan jika golongan ini mendapat ‘inspirasi’ daripada lambakan perkongsian sedemikian di media sosial.

“Mereka akan terus mencari dan lebih teruk jika ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini masih ‘berkira-kira’ untuk mencuba, terus mendapat keyakinan untuk melakukan perkara sama.

“Sekali, boleh dikategorikan sebagai mencuba. Dua kali beralih kepada suka dan seterusnya bertukar menjadi ketagih pula. Susah macam tu,” tambahnya.

Jelasnya, pihak berkuasa, ahli agama dan masyarakat perlu bersama membanteras kegiatan ini bagi memastikan ia tidak terus menular.

“Perlu cegah awal dan segera selain beri pendidikan kepada masyarakat. Jika ada peruntukan undang-undang, peraturan atau akta berkaitan, laksanakan dengan segera dan tegas supaya ia tidak lagi dinormalisasikan.

“Kalau ada yang melihat kandungan-kandungan sedemikian di media sosial, laporkan terus kepada pihak berkaitan supaya mereka maklum dan boleh mengambil tindakan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN