BARU-baru ini, ramai yang terkejut dan mengkritik tindakan pengusaha feri Langkawi, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line) mengumumkan kenaikan tambang feri dari RM3 hingga RM10.50 berkuat kuasa 1 Januari depan.
Kenaikan tersebut disifatkan membebankan terutama bagi mereka yang kerap berulang-alik ke Langkawi terutama untuk urusan kerja, selain penduduk pulau peranginan itu sendiri.
Ia juga didakwa mampu menjejaskan jumlah kemasukan pelancong ke pulau legenda itu dan pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Namun begitu, Ferry Line membuat ‘u-turn’ dengan membatalkan kenaikan tersebut, kecuali bagi tambang bukan warganegara yang dikekalkan, enam jam selepas pengumuman itu.
Ia susulan teguran pantas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang kesal dengan tindakan tersebut. Beliau seterusnya meminta pengusaha feri menarik balik keputusan berkenaan dan berunding dengan pihaknya.
Menurut Siew Fook, pihaknya baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari depan.
Ferry Line kemudian menyatakan bahawa pihaknya berada di ambang kesukaran dengan kadar tambang dikenakan ketika ini adalah terendah dalam negara dan pada masa sama terpaksa menanggung peningkatan kos upah dari RM800 seterusnya RM1,200, RM1,500 dan RM1,700.
Lima hari kemudian, Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa pengusaha feri dan bot penumpang termasuk perkhidmatan feri RORO di pulau utama negara bakal menikmati subsidi diesel berkuat kuasa 1 Januari depan.
Wakil Khas Zon Langkawi Persatuan Pelancongan Malaysia, Ahmad Pishol Ishak berkata, feri merupakan pengangkutan utama dan menjadi nadi pelancongan Langkawi.
“Jika feri bermasalah, ia akan menjejaskan kemasukan pelancong ke Langkawi. Jadi perkhidmatan feri ini perlu dipertingkatkan daripada segi keselesaan dan keselamatan sepanjang pelayaran.
“Memang ada rungutan mengenai perkhidmatan feri dan baru-baru ini pula dikejutkan dengan pengumuman kenaikan tambang. Nasib baik tak jadi naik dan saya harap pengusaha feri dapat memberikan perkhidmatan terbaik susulan pemberian subsidi diesel bermula tahun depan,” katanya.
Tambahnya, banyak program dirancang dilaksanakan pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Justeru, kami memerlukan sokongan kerajaan dan semua penggiat industri pelancongan dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau ini,” tambahnya.















