fbpx
Cabaran pada tahun depan dianggap lebih mencabar berbanding tahun ini. - Gambar hiasan

Tahun 2024 ‘keras’, 2025 mungkin lagi ‘keras’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baharu 2025. Ini bermakna, kita bakal meninggalkan tahun 2024 yang penuh dengan cerita suka dan duka.

Sebelum ini, ramai pihak menjangkakan rakyat Malaysia dalam golongan B40 dan M20 bakal berdepan kesukaran.

Hal ini kerana tahun 2024 dikatakan cukup ‘keras’ memandangkan ketidaktentuan ekonomi dunia, selain konflik yang berlaku di beberapa negara.

Meskipun dalam kesukaran, kita sepatutnya bersyukur kerana mampu menempuhi tahun yang dianggap sukar ini.

Namun penulis percaya, bagi menempuh tahun sukar ini, ramai antara kita terpaksa membuat pinjaman bank, bekerja sambilan dan mengubah cara hidup supaya dapat disesuaikan dengan peningkatan kos hidup semasa.

Biarpun tahun 2024 dianggap keras, penulis percaya tahun 2025 pasti lebih sukar.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), inflasi Malaysia diunjurkan mencecah purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025. Ia mengambil kira langkah dasar domestik yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025.

Antara dasar domestik yang ditetapkan oleh kerajaan adalah peningkatan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 menjelang Februari depan.

Selain itu, kerajaan dijangka melaksanakan subsidi bersasar bagi bahan api RON95, sekali gus memberi ‘bola tanggung’ kepada para peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Situasi ini pastinya akan menambah beban kepada golongan pertengahan.

Malah, kebanyakan golongan ini tidak mendapat kenaikan gaji yang setimpal dengan inflasi semasa.

Hal ini berbeza dengan golongan B40 yang mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi memudahkan urusan harian mereka.

Justeru, penulis berharap sesuatu dapat dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan impak inflasi terutamanya kepada golongan sederhana ini.

Selain kebimbangan ekonomi, tahun 2025 juga dijangka mencabar dari aspek perubahan iklim. Pada tahun ini, kita boleh lihat beberapa kawasan di Semenanjung mengalami kemarau teruk sehingga menjejaskan bekalan air bersih.

Suhu purata di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat sebanyak 0.14 darjah Celsius sehingga 0.25 darjah Celsius setiap dekad.

Fenomena ‘pulau haba bandar’ juga semakin ketara dengan bandar raya seperti Kuala Lumpur mencatat suhu 1.06 hingga 1.5 darjah Celsius lebih tinggi dalam 30 tahun.

Selain itu, perubahan iklim juga telah menyebabkan berlakunya banjir besar seperti yang terjadi di beberapa negeri di Pantai Timur baru-baru ini.

Iklim ekstrem ini akan memberi kerugian kepada ekonomi negara, di mana berlaku kemerosotan hasil tanaman, kerosakan infrastruktur dan kos pemulihan bencana boleh menyebabkan kerugian.

Kesimpulannya, biarpun ramai yang teruja untuk melangkah ke tahun baharu, namun mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan pada 2025.

Penulis mendoakan supaya kita dapat mengharungi satu lagi tahun yang mencabar dengan jayanya. Semoga kita beroleh kejayaan sekali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN