JOHOR BAHRU – Penipuan demi penipuan melibatkan kerugian sehingga mencecah RM1.3 bilion sepanjang 2024 menjadikan media sosial kini ibarat ‘laut’ yang digunakan lanun moden untuk merompak mereka yang tamak mahu menjadi kaya.
Tanpa senapang, meriam dan kapal layar, ‘scammer’ yang mempunyai organisasi terancang bijak mengawal minda mangsa hingga menyerahkan kesemua wang simpanan demi mengejar keuntungan termasuk melalui pelaburan palsu.
Kebanyakan mangsa ditipu menerusi Facebook, TikTok dan Telegram yang menjadi sarang scammer mencari mangsa dengan meletakkan iklan-iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, scammer meletakkan syarat pelaburan yang sangat mudah iaitu minimun pelaburan serendah RM300, namun boleh mendapat keuntungan lebih 50 kali ganda.
Malah, ada juga risalah atau iklan yang mempamerkan gambar-gambar orang kenamaan, individu terkenal, agamawan serta selebriti bagi meyakinkan lagi mangsa.
Sumber polis berkata, mangsa yang tertipu atau tertarik dengan helah ini akan menekan link WhatsApp untuk bertanyakan lebih lanjut berkaitan skim pelaburan yang ditawarkan.
“Dari situ bermulalah sindiket penipuan akan menjalankan ‘kerja’ mereka dengan menerangkan kaedah dan keuntungan yang bakal diperoleh.
“Setelah mangsa yakin, mereka kebiasaannya akan cuba terlebih dahulu dengan melabur jumlah yang sedikit atau rendah.
“Di sini, mangsa sudah mula termakan umpan apabila sindiket akan membayar jumlah keuntungan yang banyak selain dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut sumber, sindiket seterusnya akan melakukan modus operandi dengan mempengaruhi mangsa untuk melabur dengan jumlah yang lebih besar sehingga melibatkan jutaan ringgit.
Katanya, bagi meyakinkan lagi peserta pelaburan, sindiket mengarahkan mangsa untuk memuat naik aplikasi yang kononnya dapat melihat aliran atau carta pelaburan serta keuntungan yang diperoleh.
“Sindiket memang bijak, mereka akan mengarahkan mangsa melakukan transaksi pelaburan ke beberapa keldai akaun atau akaun milik orang lain untuk mengelakkan mereka dikesan dan tertangkap.
“Selepas mereka berjaya mencuri duit mangsa, sindiket akan meletakkan jumlah keuntungan pelaburan sehingga mangsa berasa teruja dengan duit yang diperoleh,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa sekali lagi diminta untuk membayar yuran atau servis perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan itu.
Tambahnya, mangsa mula menyedari mereka sudah tertipu apabila gagal menuntut wang keuntungan, malah modal yang dilaburkan juga lesap selain sindiket juga menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
“Akhirnya, mereka tampil membuat laporan polis ditipu sindiket. Di sini, kesilapan mereka sendiri, tidak menyemak terlebih dahulu pelaburan yang ingin mereka sertai itu wujud atau tidak,” katanya.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.3 bilion direkodkan di seluruh negara bagi Januari hingga November tahun ini.
Menurutnya, jumlah itu menyaksikan peningkatan 37.5 peratus daripada 23,608 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, jumlah kerugian juga meningkat 33 peratus daripada RM771.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Pelaburan palsu merekodkan jumlah kerugian paling tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak RM421 juta daripada 5,036 kes, diikuti e-dagang (RM382 juta dan 10,993 kes) dan telekomunikasi (RM327.9 juta dan 9,526 kes).
Selain itu, jenayah e-kewangan pula merekodkan RM103.6 juta membabitkan 2,006 kes, manakala Love Scam mencatatkan RM40.9 juta dengan 883 kes dan pinjaman tidak wujud merekodkan RM38.5 juta dengan 4,018 kes pada tahun ini.
















