PONTIAN – Harga seekor landak raya yang mampu mencecah sehingga RM4,500 iaitu seperti mana harga lembu bersaiz kecil mendorong seorang pemuda memilih untuk menternak mamalia itu secara serius.
Bermula dengan hobi membela haiwan eksotik itu sejak tujuh tahun lalu, Mohamad Asyraf Mohd. Arfah, 30, kini mengorak langkah mengusahakan penternakan landak raya atau nama saintifiknya malayan porcupine.
Menurutnya, ternakan landak yang diusahakan itu mendapat kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandangkan haiwan tersebut merupakan salah satu haiwan yang dilindungi.
“Tujuh tahun lalu saya bela landak ini sebagai hobi, tetapi lama kelamaan haiwan ini membiak. Memandangkan harganya yang agak lumayan, saya kemudian ternak secara komersial.
“Saya pernah menternak sehingga 40 ekor, namun banyak yang telah dijual kepada penternak lain dalam bentuk induk bagi tujuan pembiakan.
“Setiap induk landak yang dijual mampu mencapai harga antara RM3,500 hingga RM4,500 seekor bergantung kepada umur landak tersebut,”katanya katanya ketika ditemui di Kampung Parit Dato Onn di sini baru-baru ini.
Tambah Mohamad Asyraf, menternak landak raya lebih mudah dan tidak terlalu membebankan kerana haiwan ini tidak mudah dijangkiti penyakit dan hanya perlu fokus kepada aspek pemakanan dan kebersihan.
Katanya, harga daging landak ketika ini di pasaran boleh mencapai antara RM180 hingga RM240 sekilogram.














