Anwar (tengah) bergambar bersama kakitangan awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 di Putrajaya pada Ogos lalu.

Penjawat awam jadi ‘OKB’ hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas 11 tahun menunggu, kira-kira 1.6 juta kakitangan awam di negara ini menerima gaji baharu hari ini di bawah pelaksanaan sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu.

Berdasarkan pelarasan gaji baharu itu, kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional menerima kenaikan sebanyak 15 peratus, manakala tujuh peratus bagi pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji kakitangan awam itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional adalah lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2, manakala pengurusan tertinggi pula adalah seban­yak empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.

Kali terakhir gaji penjawat awam disemak adalah pada tahun 2013.

Rata-rata penjawat awam yang ditemui memaklumkan gaji baharu itu menjadi pembakar semangat untuk mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Ada juga dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama pegawai muda yang berazam mahu menyimpan wang gaji tersebut untuk kegunaan pada masa hadapan termasuk membeli kediaman.

Seorang guru, Muhammad Hasyrul Ilmi Buhassan, 26, berkata, dia akan menggunakan gaji baharu tersebut bagi tujuan pelaburan di tempat yang selamat dan diperakui oleh badan kerajaan.

“Bagi saya lebih baik me­nyimpan atau melabur bagi menggandakan simpanan setiap bulan daripada berbelanja untuk membei barangan bukan keperluan. Orang kata sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

“Sekurang-kurangnya wang tersebut boleh digunakan sewaktu kecemasan atau masa ter­desak,” katanya.

Bagi pembantu makmal, Aina Zulaiqa Abdul Kadir, 28, dia me­rancang untuk menggunakan wang gaji itu bagi membayar pinjaman pengajian.

“Saya akui hutang pendidikan masih banyak, apabila gaji bertambah boleh gunakan wang itu untuk bayar (pinjaman) lebih cepat,” ujarnya.

Seorang lagi penjawat awam, Mohammad Zulhilmi, 25, memberitahu, sebagai kakitangan baharu dia memilih untuk menyimpan gaji baharu untuk kegunaannya dan keluarga pada masa akan datang.

“Saya berazam untuk me­nyimpan lebih sedikit bermula pada bulan ini,” katanya.

Pegawai perubatan, Mohamad Zulkifli Ayub, 27, turut berkongsi matlamatnya untuk mengutamakan simpanan bagi tujuan perkahwinan dan haji untuk bapanya.

“Keutamaan saya adalah untuk memastikan simpanan mencukupi untuk tujuan penting seperti perkahwinan. Selain itu, sebagai anak, saya mahu ayah mengerjakan ibadah haji menggunakan wang titik peluh saya,” ujarnya.

Bagi kerani, Nur Zuriati Junus, 26, dia bersyukur dengan kenaikan gaji tersebut yang akan digunakan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri pada bulab Mac tahun depan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Madani dengan kenaikan gaji ini.

“Insya-Allah wang tersebut saya akan gunakan untuk me­nyimpan bagi persiapan raya tak lama lagi.

“Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan penting yang paling dinanti-nantikan dalam keluarga saya, jadi saya mahu memastikan kelengkapan yang disediakan lengkap untuk seisi keluarga,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN