fbpx
Pencapaian terbaik Young Tigers di pentas Piala Dunia Remaja adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali.

Malu kalau tidak layak Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN skuad hoki remaja lelaki negara melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 yang akan diadakan di India pada Disember tahun depan sebenarnya bukanlah satu kejutan besar buat peminat-peminat sukan tanah air.

Amat memalukan jika Young Tigers gagal menyambar slot secara merit ke pentas berprestij dunia bawah 21 tahun itu memandangkan enam tiket ditawarkan kepada benua Asia, tidak termasuk India yang akan beraksi sebagai tuan rumah. Ini disebabkan Malaysia hanya sekali tidak layak ke kejohanan itu ketika edisi 1997 di Milton Keynes, England daripada keseluruhan 12 penganjuran sejak kali pertama diadakan di Versailles, Perancis pada 1979.

Lagipun agak tidak realistik jika Young Tigers terlepas enam tiket itu yang sebenarnya diibaratkan sudah ‘dalam genggaman’ sebelum kejohanan bermula lagi sebenarnya.

Selain Malaysia dan India, lima lagi pasukan Asia layak ke Piala Dunia Remaja 2025 ialah Jepun, Pakistan, China, Bangladesh dan pemenang antara Thailand atau Korea Selatan.

Bagaimanapun, layak ke penganjuran edisi ke-14 kali ini tidak bermakna skuad muda negara boleh berpuas hati kerana banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan sebelum berentap dengan jaguh-jaguh dunia hujung tahun depan.

Bukan itu sahaja, barisan kejurulatihan diketuai I. Vikneswaran sepatutnya berasa bimbang dengan kemampuan dan potensi pasukan ini meskipun berjaya menghuni kelompok empat terbaik Piala Remaja Asia di Muscat, Oman yang berakhir Rabu lalu.

Apa tidaknya, skuad Young Tigers gagal memenangi dua perlawanan dalam peringkat kumpulan yang sepatutnya dimenangi oleh mereka apabila dikejutkan dengan keputusan seri 2-2 menentang Bangladesh sebelum kalah 1-4 kepada Pakistan.

Seri dengan Bangladesh sememangnya memberi tamparan yang cukup hebat kerana lawan bukanlah sebuah negara hoki berbanding Malaysia selaku powerhouse Asia di peringkat senior dan menghuni ranking ke-13 dunia.

Prestasi kejohanan sebelum itu di Piala Sultan Johor pada Oktober lalu lebih ‘menakutkan’ apabila tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan klasifikasi yang menyaksikan Malaysia berakhir di tempat tercorot daripada enam pasukan.

Ia adalah satu rekod malang kerana ini kali pertama Young Tigers tewas kesemua perlawanan dalam sejarah penganjuran Piala Sultan Johor sejak edisi pertama pada 2011 menyaksikan Malaysia muncul juara ketika itu.

Oleh itu, pihak-pihak berkepentingan perlu mengambil serius prestasi skuad muda negara ini dalam tempoh setahun yang ada bagi memastikan Malaysia kembali ‘mengaum’ di pentas Piala Dunia Remaja nanti.

Pencapaian terbaik Young Tigers adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali bermula edisi Versailles 1979, Kuala Lumpur 1982 dan New Delhi 2013.

Tiga penganjuran seterusnya menyaksikan Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan ke-11 (Lucknow 2016), No. 8 (Bhubaneswar 2021) dan tempat ke-12 di Kuala Lumpur 2023.

Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah kali pertama Piala Dunia Remaja bakal menyaksikan sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian yang mana ia adalah penyertaan terbanyak dalam sejarah kejohanan berbanding 16 pasukan kebiasaannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN