PETALING JAYA – Penipuan pelanggan cash on delivery (COD) diakui sudah wujud sejak sekian lama hingga ada rider mendedahkan mereka telah ‘terkena’ lebih daripada 10 kali.
Seorang rider yang mahu dikenali sebagai Ahmad Hafiz, 30, berkata, penipuan COD itu dialami sepanjang lebih lima tahun menjadi rider di kawasan Lembah Klang.
“Memang ada pelanggan ‘hantu’ yang sengaja mempermainkan golongan penghantar dengan membuat pesanan lebih RM20 sebelum hilang begitu sahaja.
“Tidak jawab panggilan, tidak keluar rumah, alamat salah dan macam-macam helah yang digunakan untuk mengenakan rider. Kalau rugi RM10 boleh buat tak nampak tetapi kalau sampai RM100 memang terduduk,” katanya.
Seorang lagi rider, Mohd. Raziq, 26, berkata, dia pernah rugi lebih RM70 yang bersamaan dengan upah bagi 12 trip tempahan.
“Jika mahu dapat upah RM70 hingga RM80, rider kena kerja dua hingga tiga jam. Kes tipu RM70 itu berlaku apabila pelanggan tipu kata tiada duit dan bila mahu imbas kod QR, dia kata tak lepas.
“Janji mahu bayar nanti dan saya kena gerak ke tempat lain untuk hantar barang. Bila kita tanya di WhatsApp, dia buat senyap dan kena terus block (sekat),” katanya.
Penghantar parcel, Akmal, 29, pula mendedahkan dia perlu hantar ratusan barangan sehari dan ada kes COD melibatkan penerima tidak berada di rumah dan minta datang hari lain.
“Kos penghantaran masih boleh dapat tetapi masa telah membazir. Ada kenalan atau ahli keluarga lain dalam rumah enggan terima barang sebab tidak mahu bayar barang orang lain.
“Ada kes pelanggan tak cukup duit dan minta kami halalkan. Sakit kepala layan kerenah mereka,” katanya.














