KUALA LUMPUR – Golongan peniaga di sekitar Lembah Klang mengakui perniagaan mereka terjejas teruk sehingga 80 peratus berikutan kekurangan pelanggan ekoran cuaca hujan yang melanda negara ketika ini.
Lebih menyedihkan, ada peniaga yang hanya memperoleh kira-kira RM10 sehari selain ada antara mereka yang terpaksa mengorek tabung bagi menampung keperluan seharian.
Seorang peniaga kuih tradisional, Muhamad Azuan Azman, 31, berkata, pendapatannya mula merosot sejak bulan lalu ekoran cuaca yang tidak menentu.
“Saya membuka gerai dari pagi sampai malam. Tapi, bila musim hujan, pendapatan memang terjejas teruk. Hampir 80 peratus menanggung kerugian.
“Kalau hari biasa boleh dapat RM50, musim hujan hanya RM10 atau RM20 sehari,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Berkongsi situasi sama, peniaga buah-buahan, Mardiati Sugiat, 60, berkata, sebelum ini ketika cuaca baik, dia memperoleh untung bersih RM70 sehari tetapi kini adakalanya tiada yang terjual.
“Kalau hujan renyai, saya tetap membuka gerai kecuali kalau angin kuat, memang kena tutup. Apabila hujan, memang susah nak dapat untung sebab tidak ramai pelanggan.
“Kadang-kadang buah yang tak habis saya sedekah sebab esok sudah tidak boleh jual,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, Siti Muslimah Isbir, 32, berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa membuka gerai biarpun hujan lebat bermula pukul 12 tengah hari sehingga pukul 12 malam kerana itu merupakan satu-satunya pendapatannya.
“Kalau hujan, kami buka juga gerai. Bila hujan lebat, pelanggan memang tiada. Nak tak nak, kena teruskan juga sebab inilah sumber pendapatan kami,” ujarnya.
Bagi peniaga pisang goreng, Mad Syah Mad Tahir, 70, cuaca hujan memberi cabaran kepadanya kerana makanan yang digoreng mudah rosak.
“Ini sahaja sumber pendapatan saya. Kalau tidak berniaga, memang tiada pendapatan lain. Paling sedikit pernah dapat RM50 sehari. Itu pun tidak cukup untuk balik (pulangan) modal sebab harga 20 kilogram pisang pun RM60,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga, Afzamisham Basar, 48, yang menjual kebab pula mengakui musim tengkujuh benar-benar menguji kemampuan mereka dalam mencari rezeki.
“Musim hujan ini kami terpaksa korek balik simpanan untuk modal niaga. Kalau cuaca elok, pendapatan boleh mencecah RM500 sehari.
“Tetapi kalau hari hujan, paling sedikit dapat RM50. Barang makanan semua sudah siap. Kalau tutup, kami rugi. Jadi, tunggu sahaja kalau ada pelanggan yang datang,” katanya.
















