fbpx
FARAH tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapa dalam soal kewangan.

Farah tak kekok cari duit di usia 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT kepada perwatakannya, Nurfarah Nabiha Zuraidi, 22, sama seperti wanita lain. Dia suka me­lakukan apa yang diingin­i, tetapi tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa untuk memenuhi keperluan kewangannya.

Malah, sebagai seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurfarah atau lebih selesa dipanggil Farah mengakui belajar sambil bekerja bukan perkara baharunya.

Dia juga mendedahkan sudah berbuat demikian sejak di bangku sekolah iaitu ketika berumur 16 tahun.
Kepada Kosmo! Ahad, Farah menceritakan serba sedikit me­ngenai dirinya, rancangan masa depannya serta pendapatnya mengenai beberapa isu semasa mengenai ge­nerasi kini.

KOSMO! AHAD: Boleh cerita sedikit mengenai anda?
FARAH: Saya lahir di Alor Setar, Kedah, namun membesar di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Sekarang ini saya sedang belajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam dan berada di semester lima. Sambil belajar, saya juga bekerja sebagai barista di sebuah kafe di Shah Alam. Saya adalah anak kedua daripada lima beradik. Bapa dan ibu masih lagi bekerja.

Apa personaliti anda?
Saya seorang yang ceria, suka bercakap dan berkomunikasi dengan orang lain. Itu sebabnya saya ambil pengurusan komunikasi dan polisi dengan harapan dapat bekerja sebagai seorang pegawai perhubungan awam sebaik tamat pengajian.

Apa perkara yang membuatkan anda gembira atau marah?
Perkara yang membuatkan saya gembira apabila saya dapat wang hasil gaji. Ia adalah penat lelah saya setelah bertungkus lumus bekerja pada setiap bulan. Bila saya dapat gaji, saya pastikan ia digunakan sebaiknya.
Perkara yang membuatkan saya marah pula apabila apa yang telah saya rancang tidak menjadi.

Bagaimana membahagikan masa belajar dan bekerja?
Hal ini bukan satu perkara baharu kerana saya sudah bekerja dari usia 16 tahun. Keluarga tidak pernah menghalang untuk be­kerja selagi saya tidak mengabaikan pelajaran. Alhamdulillah sehingga kini, saya dapat bahagikan masa belajar dan kerja sebagai barista.
Lagipun, saya hanya kerja dua hari sahaja, iaitu pada hujung minggu. Tapi untuk dua hari ini, saya kerja 24 jam, iaitu kerja 12 jam dalam sehari.

Apa yang menyebabkan anda ambil keputusan untuk bekerja?
Sejak dahulu lagi saya tidak suka untuk meminta wang daripada ibu bapa. Saya suka ada wang sendiri daripada usaha yang saya buat. Tapi kalau keluarga ada bagi wang, saya ambil juga kerana mahu menghargai pemberian mereka.
Apabila bekerja, saya dapat menimba pelbagai ilmu serta pengalaman. Jadi, saya harap pengalaman kerja yang ada boleh menjadi batu loncatan untuk dapat tawaran bekerja di tempat lebih baik sebaik sahaja tamat menghabiskan
pengajian.

Sudah ada rancangan untuk 10 tahun akan datang?
Insya-Allah sekiranya diizinkan, saya ingin membuka kafe sendiri kerana mahu ada perniagaan sendiri. Selain itu, saya sendiri suka minum kopi dan mahu kongsi rasa kopi yang saya suka dengan orang ramai.
Untuk menjadikan ia direali­sasikan, saya sedang mengumpul wang dan rancang untuk sambung belajar dalam pengurusan perniagaan bagi mempelajari selok belok dunia
perniagaan.

Apa pandangan anda me­ngenai graduan lepasan universiti yang harap gaji permulaan mereka tinggi apabila mereka mula bekerja?
Bagi saya, tidak ada masalah untuk mereka mohon gaji tinggi sekiranya pekerjaan yang mereka minta itu risikonya tinggi. Tapi jika majikan tidak mahu berikan gaji tinggi, seeloknya mereka teri­ma dahulu gaji yang ditawarkan.
Dapat kumpul pengalaman dan ilmu mengenai pekerjaan itu, selepas itu cuba berunding dengan majikan untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN