fbpx
Tindakan melanggar lampu isyarat merah boleh mengundang kemalangan jalan raya. - GAMBAR HIASAN

Mahu kejar trip atau cari nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Berdesup motosikal yang membawa kotak bungkusan berwarna merah jambu, hijau dan kuning tiba-tiba menyelit di hapanan kereta ketika sedang memandu.

Mujur sempat menginjak brek kereta.

Lewat beberapa saat barangkali sudah tersondol dan tergolek. Nasib tidak baik, silap hari bulan kalangan rider penghantar makanan itu menjadi sebahagian stastik kemalangan maut.

Ironi apabila dihon sebagai nasihat saudara menungganglah dengan cermat, jari tengah pula dibalasnya.

Itu belum disentuh tentang sikap gemar melanggar lampu isyarat merah dan membuat pusingan U sesuka hati. Situasi ini sesuatu yang lazim disaksikan di jalan raya Malaysia sejak kewujudan industri p-hailing.

Bukan semua penghantar makanan bermotosikal begitu, namun kemusykilan timbul apa sudah berlaku?

Adakah undang-undang jalan raya tidak terpakai kepada rider penghantar makanan yang berperangai sebegitu?

Pada tahun 2018 hingga Mei 2022 sahaja sebanyak 1,242 kemalangan membabitkan p-hailing direkodkan. Sebanyak 112 daripadanya adalah kemalangan maut dengan 82 membabitkan kecederaan parah.

Penghantar makanan dikenali sebagai Zack, 24, memberi justifikasi beliau berhubung keadaan tersebut.

“Sebenarnya mereka bukan sengaja mahu menunggang secara melulu, tetapi demi mengejar trip.

“Lambat setel setiap trip, kuranglah pendapatan harian. Pelanggan bising kalau lambat hantar makanan,” katanya.

Zack turut mengaitkan tentang kadar upah rendah diterima penunggang p-hailing dengan keadaan yang sama.

Kata beliau, jika kadar upah pada paras berbaloi, maka penunggang tidak terlalu tertekan untuk mengejar trip.

“Satu hari kena banyak ‘job’ untuk capai sasaran RM100. Tunggang perlahan macam mana nak capai,” katanya.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Teik Hua pernah mengulas perkara itu sebelum ini dan berkata, tempoh yang panjang bagi sesuatu penghantaran barangan perlu diberikan.

Ujar beliau, langkah itu untuk mengelakkan penghantar makanan terkejar-kejar dalam urusan harian.

Jelas beliau, pendapatan penghantar makan bukan tetap sebaliknya bergantung kepada sesuatu pesanan.

Katanya, keadaan itu membuatkan mereka tidak ubah seperti pemandu lori yang sentiasa mengejar trip.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memaklumkan tidak akan mencampuri urusan upah petugas p-hailing. Keputusan pembayaran upah terletak pada tanggungjawab setiap syarikat penyedia perkhidmatan.

Apapun hujah, pandangan atau pendirian dilontarkan, persoalan ini yang masih meletakkan penghantar p-hailing dalam persimpangan.

Persimpangan antara mengejar trip dan menempah maut demi mencari rezeki buat diri dan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN