fbpx
Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohammad Farhan bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura.

Pelayan restoran dapat RM10,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Segelintir graduan di negara ini sanggup berulang-alik ke Singapura untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) semata-mata untuk mendapatkan gaji lebih besar sehingga tiga kali ganda berbanding di negara ini.

Mereka tidak mempedulikan status graduan yang dimiliki serta sanggup meninggalkan pekerjaan lama untuk merentas Tambak Johor yang sesak ke Kota Singa untuk pergi dan balik setiap hari.

Bagi mereka, gaji yang mencecah RM10,000 sebulan lebih penting berbanding kepayahan yang dihadapi walaupun bekerja dalam bidang berbeza daripada ijazah yang diperoleh ketika belajar di universiti.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohammad Farhan Mohd. Fuad, 29, berkata, dia letak tepi ijazah undang-undang yang diperoleh untuk bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura walaupun telah menjadi peguam di sini.

Katanya, dia tidak peduli tanggapan serong masyarakat asalkan menerima hampir RM10,000 sebulan.

“Bila tamat pengajian pada 2022, saya bekerja di sebuah firma guaman di sini dengan gaji kurang RM3,000. Saya nekad berhenti dan mula bekerja di Singapura pada Mac 2023 untuk bekerja di sebuah restoran de­ngan gaji lebih lumayan.

“Mula kerja memang kekok apabila perlu keluar pukul 5 pagi untuk merentas sempadan dan bersesak di Kompleks Imig­resen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) tetapi lama-kelamaan sudah biasa. Kini gaji saya SGD2,800 (RM9,281),” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Gaji itu menyamai pendapatan eksekutif yang bekerja lebih 15 tahun di Malaysia.

Menurut Mohammad Farhan, gaji sebanyak itu hanya boleh didapati selepas bekerja dalam tempoh lama di Malaysia.

“Hasil bekerja di Singa­pura, saya mampu beli rumah di sini dan mempunyai simpanan kukuh. Saya akan berhenti dalam tempoh dua tiga tahun lagi untuk kerja balik dalam bidang perundangan,” katanya.

Muhammad Faiz (kanan) bersama rakan sekerjanya menunjukkan tanda bagus ketika bekerja di sebuah restoran makanan segera di Singapura.

Graduan Universiti Teknologi Malaysia, Mohammad Faiz Mohd. Fuad, 28, pula berkata, dia berhenti kerja dalam bidang pengurusan logistik di sini dengan gaji terakhir RM3,500 selepas tamat pengajian dalam bidang pengurusan teknologi pada 2019.

“Saya kemudian dapat kerja sebagai pelatih pengurus di sebuah restoran makanan segera di Singapura dengan gaji SGD2,900 (RM9,614) pada Julai lalu.

“Walaupun saya bertaraf pekerja bawahan dan perlu cuci pinggan, kemas meja, siapkan tempahan dan ambil pesanan, saya sangat gembira kerana gaji besar,” katanya.

Ujar Mohammad Faiz, faktor tukaran mata wang yang tinggi merupakan faktor dia memilih bekerja di Singapura.

“Saya cadang untuk kerja sampai umur 30 tahun untuk simpan modal bagi membuka perniagaan di Malaysia. Jika bisnes tak bagus, mungkin saya akan kerja semula di Singapura,” katanya.

Bagi juruteknik enjin pesawat, Raja Ahmad Khuzaimi Raja Idris, 30, berkata, dia sudah terbiasa ulang-alik setiap hari merentas CIQ di sini untuk ke tempat kerja.

“Biasanya dua jam baru boleh sampai tempat kerja. Awal memang penat tetapi bila sudah lama, kita tak kisah. Bila tamat pengajian di Universiti Nilai pada 2017, saya ­terus kerja dalam bidang sama di ­Si­nga­pura sebelum diberhentikan akibat Covid-19.

“Bila kerja di Malaysia, gaji antara RM1,500 hingga RM2,200. Bila Covid-19 berakhir, syarikat lama panggil semula dan kini gaji saya cecah SGD3,000 (RM10,000),” katanya.

Sementara itu, Nurul Syakinah Suhaimi, 30, dari Segamat, berkata, dia memilih Singapura selepas lima tahun bekerja di sebuah syarikat pentadbiran korporat dengan gaji RM1,800 sebulan.

“Sekarang saya jadi setiausaha korporat di sebuah syarikat di Singapura dengan gaji lebih lumayan iaitu SGD2,500 (RM8,925),” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN