fbpx
Gambar hiasan

Siap siaga hadapi hujan lebat berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONSUN Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara ini telah bermula sejak Selasa lalu dan dijangka berlaku sehingga Mac depan.

MTL kali ini diramalkan berlaku dengan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan di beberapa negeri terutamanya di negeri-negeri sebelah Pantai Timur.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai MTL, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Lucia Enggong baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Jika dahulu, banyak ramalan cuaca yang dikeluarkan tidak tepat. Namun kini, ia boleh dikatakan hampir tepat. Apakah prosedur operasi standard (SOP) cerapan cuaca yang diamalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)?
LUCIA: Dari aspek SOP cerapan cuaca, METMalaysia mengamalkan dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh World Meteorological Organization (WMO).

Dari dahulu lagi, sejak MET Malaysia menjadi ahli, kami perlu mematuhi piawaian WMO ini.

Bermula bulan ini, beberapa lokasi di Malaysia mula mengalami hujan yang kerap terutamanya pada sebelah petang dan malam. Adakah ini menunjukkan, negara sudah beralih kepada Monsun Timur Laut (MTL)?
Keadaan cuaca hujan di sebelah petang ataupun malam adalah corak cuaca yang biasa di kawasan tropika.

Tetapi untuk musim MTL, ia dapat dilihat melalui corak angin yang bertiup dari arah timur laut dengan corak cuaca lazimnya berkait dengan hujan lebat turun berterusan dengan tempat yang terkesan meluas dan bukannya setempat.

Hujan lebat ini adalah disebabkan oleh luruan angin kencang yang berasal dari Siberia dan juga angin Timuran dari Lautan Pasifik. Jika hujannya sangat lebat, ia boleh melimpah (spill over) ke sebelah Pantai Barat Semenanjung dan boleh menyebabkan banjir berlaku di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor.

MTL pada tahun ini dijangkakan mempunyai lima hingga tujuh episod hujan lebat dan negara kita ketika ini sedang mengalami episod pertama yang bermula sejak Selasa lalu.

METMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan sejak 15 November lalu.

Ketika MTL, kawasan manakah yang berisiko menerima hujan pada kadar luar biasa? Berapakah pula kadar hujan yang dijangka diterima di kawasan-kawasan berkenaan?
Secara lazimnya, negeri yang terjejas disebabkan hujan lebat oleh MTL adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor. Keadaan hujan lebat ini juga akan beralih ke selatan dan barat Sarawak serta timur Sabah (Sandakan dan Kudat) yang terkesan oleh angin timuran yang berasal dari Lautan Pasifik.

Jika bercakap soal kadar taburan hujan, jangkaan adalah dibuat untuk tempoh enam bulan ke hadapan. Pada MTL kali ini, kita jangka berlaku sedikit peningkatan hujan sebanyak 20 ke 40 peratus melebihi purata.

Nilai purata ini juga berbeza mengikut kawasan dan biasanya semasa MTL, hujan yang turun boleh mencapai 600 hingga 800 mililiter (mm) dalam tempoh sebulan di negeri-negeri terkesan.

Penambahan ini dilihat tidak begitu signifikan, tetapi kita perlu ingat bahawa hujan tersebut memang sedia ada banyak dan perlu lebih berhati-hati bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau berdekatan dengan sungai.

MTL sinonim dikaitkan dengan musim banjir terutamanya di Pantai Timur. Adakah hanya kawasan di sebelah Pantai Timur sahaja berisiko mengalami banjir, manakala di Pantai Barat tidak akan berlaku perkara berkenaan?
Ya, MTL memang sangat sinonim dengan musim banjir terutama di timur Semenanjung, selatan dan barat Sarawak serta timur Sabah.

Banjir kilat yang disebabkan hujan lebat dalam tempoh singkat berbeza dengan MTL, di mana banjir yang berlaku adalah lebih lama kerana hujan turun berterusan sehingga beberapa hari.

Banjir di Pantai Timur Semenanjung berlainan semasa musim MTL kerana tempohnya lebih panjang. Di Pantai Barat, hujan ribut petir lebih cenderung pada sebelah petang dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Selain banjir, apakah risiko-risiko lain yang boleh berlaku ketika MTL? Apakah nasihat puan kepada orang ramai terutamanya mereka yang berisiko pada musim ini?
Jika kita lihat, banjir ini berkait rapat dengan hujan dan biasanya ia turun banyak lebih-lebih lagi ketika MTL.

Seperkara yang kena ingat, kita juga terkesan dengan fenomena air pasang
besar.

Jadi, semua perlu lebih berwaspada terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pantai.

Air pasang besar ini menyebabkan air sukar mengalir dari darat ke laut dan kita perlu lebih prihatin serta cakna dengan arahan pihak berkuasa tempatan
di tempat masing-masing.

Untuk maklumat keadaan cuaca yang terkini, orang ramai boleh dapatkan daripada METMalaysia.

Selain banjir, risiko lain disebabkan hujan lebat ini termasuklah tanah runtuh yang lazimnya berlaku di kawasan tinggi.

Pada masa sama, mereka yang bekerja di laut juga terdedah dengan risiko disebabkan ombak tinggi yang boleh mencapai 2.5 hingga 3.5 meter (Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora Kategori Pertama) ketika MTL.

Pada ketika ini, keadaan laut di perairan negara telah beralih kepada kategori dua sejak 19 November lalu, yang mana ombak bergelora boleh mencecah 3.5 hingga 4.5 meter.

Kategori dua ini termasuklah larangan bagi aktiviti perkapalan seperti perkhidmatan feri.

Baru-baru ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengarahkan METMalaysia supaya mengkaji semula tatacara penyediaan dan penyebaran maklumat mengenai cuaca. Apakah usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan bagi menyahut seruan itu?
Susulan daripada arahan dikeluarkan kementerian kepada METMalaysia baru-baru ini, kami telah mengambil tindakan segera.

Antaranya adalah dengan membuat paparan Amaran Hujan Berterusan yang berkuat kuasa secara automatik (pop-up screen) di laman web kami, selain pinned amaran tersebut di semua platform media sosial.

Ia bagi memastikan maklumat terkini terutama amaran yang masih berkuat kuasa.

Langkah ini juga dapat mengingatkan orang awam berkaitan amaran yang dikeluarkan.

Kita juga akan mengemas kini amaran dan ulang siar selagi mana amaran tersebut masih berkuat kuasa.

Ketika ini, maklumat cuaca boleh diperoleh dari hujung jari iaitu melalui aplikasi di telefon pintar terutamanya menerusi Google. Sejauh manakah tepatnya maklumat cuaca dan amaran yang diberikan oleh aplikasi-aplikasi ini?
Mutakhir ini jika kita lihat terlalu banyak aplikasi yang diperkenalkan kerana maklumat boleh diperoleh di hujung jari.

Bagi saya, semua aplikasi ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Kami dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan maklumat cuaca yang sahih walaupun hanya ramalan. Jika kita menggunakan maklumat daripada luar, ia mungkin tidak tepat apatah lagi sahih.

Ini bertambah buruk jika ia ditularkan di media sosial sekali gus mengundang cemas semua pihak.

METMalaysia turut mempunyai aplikasi iaitu myCuaca yang memberikan info serta jangkaan keadaan cuaca di negara kita.

Dari aspek ketepatan maklumat dan ramalan cuaca, kita lihat dari aspek kemajuan teknologi yang begitu hebat pada masa kini.

Ia merujuk kepada teknologi perkomputeran yang mana maklumat diproses lebih cepat dan menghasilkan output (hasil keputusan) terkini.

Jika kita lihat, data cuaca ini sangat banyak dan kita memerlukan super komputer untuk memproses data tersebut supaya dapat dijadikan panduan untuk membuat ramalan.

Pada masa sama, METMalaysia juga telah menambah baik pemantauan cerapan cuaca kita dengan menambah stesen pencerapan.

Ia termasuklah ramalan cuaca bagi tempoh tiga jam ke hadapan, tujuh hari dan tinjauan untuk enam bulan ke hadapan (diguna pakai terutama bagi sektor pertanian negara).

METMalaysia juga mempunyai pasukan penyelidikan bertujuan membantu operasi pemantauan cuaca.

Jika dahulu, masyarakat tidak terlalu peduli dengan ramalan kaji cuaca. Namun sejak kebelakangan ini, kesedaran itu semakin meningkat. Apakah faktor
utama yang mendorong kesedaran masyarakat terhadap cuaca?
Mungkin ada segelintir masyarakat yang masih tidak cakna dengan ramalan cuaca.

Pun begitu, mengikut pemerhatian pihak kami, semakin hari semakin ramai yang sudah prihatin mengenai perkembangan cuaca.

Kerajaan menerusi kementerian dan jabatan sentiasa mengadakan program dan kempen kesedaran kepada rakyat agar maklumat penting berkenaan cuaca dan keselamatan dapat disampaikan.

Menerusinya, rakyat dapat tahu dan merancang lebih awal segala aktiviti yang ingin dilakukan kelak.

Saya juga percaya kemajuan teknologi itu sendiri banyak membantu proses penyampaian maklumat berkenaan ramalan cuaca kepada semua lapisan masyarakat.

Terdapat cadangan supaya METMalaysia menguar-uarkan secara agresif ramalan atau amaran cuaca seperti di papan iklan digital yang terdapat di bandar-bandar. Apakah pendapat puan mengenai cadangan ini?
Ini dilihat sebagai satu cadangan menarik dan baik dalam usaha menyampaikan info berkenaan ramalan cuaca kepada masyarakat.

Bagi METMalaysia sendiri, mungkin cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan secara terus pada masa kini, tetapi boleh diusahakan pada masa akan datang.

Pelaksanaan tersebut (papan iklan digital) memerlukan pertimbangan banyak perkara termasuk kos dan lain-lain.

Apa yang sedia ada pun, saya rasa sudah memadai untuk kita sampaikan maklumat cuaca kepada masyarakat.

METMalaysia juga sentiasa terbuka untuk menerima segala cadangan, penambahbaikan, maklum balas dan apa sahaja perkara berkaitan ramalan cuaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN