LIPIS – “Mereka berdua berulang-alik setiap hari dari bandar Jerantut ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut sejak empat tahun lalu dan tidak sangka menemui ajal bersama.”
Demikian kata Mohamad Nasrul Azwan Mohd. Adnan, 33, suami kepada pembantu tadbir SK Limau Purut, Nurul Farhana Yahaya, 31, yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Lipis-Jerantut di Kampung Jeram Bungor, di sini kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.
Kejadian melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori itu turut meragut nyawa sahabat baik Nurul Farhana iaitu Nurshida Md. Najib, 38, yang bertugas sebagai pembantu operasi di sekolah sama.
Mohamad Nasrul berkata, dia menerima berita mengenai insiden itu kira-kira pukul 4 petang dan pihak sekolah memaklumkan Nurul Farhana hanya kemalangan biasa sebelum memintanya ke Hospital Kuala Lipis.
“Namun, dalam perjalanan pegawai polis pula menghubungi saya dan memaklumkan isteri sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini kelmarin.
Mohamad Nasrul yang merupakan kakitangan Risda Daerah Jerantut berkata, kali terakhir mereka berjumpa adalah kelmarin sebelum masing-masing bergerak ke tempat kerja dan tiada perubahan ketara ditunjukkan Allahyarham isterinya.
“11 November lepas genap setahun adik ipar (adik lelaki bongsu Nurul Farhana) meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Maran.
“Tidak sangka hari ini (kelmarin) arwah isteri pula menyusul pergi meninggalkan saya dan anak tunggal kami, Emir Rayyan yang baru berusia setahun lima bulan,” ujarnya.
Sementara itu, suami kepada Nurshida, Zuwairi Amdan, 43, berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila dihubungi jiran memaklumkan isterinya terlibat kemalangan.
Katanya, setiap tahun isterinya membuat permohonan pertukaran tempat kerja ke daerah Jerantut kerana letih berulang-alik ke Lipis, namun sehingga ke akhirnya tiada rezeki.
“Tambahan pula kami ada dua anak berusia 6 dan 3 tahun sedang membesar. Walaupun sedih dengan kejadian yang berlaku, namun kami sekeluarga reda tambahan pula arwah pergi semasa dia bertugas,” katanya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori jenis Daihatsu dipandu lelaki berusia 31 tahun bertembung dengan kereta jenis Proton Saga yang dinaiki Nurshida dan Nurul Farhana.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu telah bertembung dan kedua-dua wanita meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu lori mengalami kecederaan pada rusuk sebelah kiri dan kelindannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.














