PETALING JAYA – “Hidup saya porak peranda angkara status bankrap. Saya tidak akan mudah percaya orang termasuk adik beradik sendiri dan akan lebih berhati-hati selepas ini.”
Demikian pengakuan Rahman, 40, selepas hidupnya kembali bersinar apabila berjaya melunaskan hutang untuk bebas daripada kongkongan bankrap hasil bantuan Jabatan Insolvensi pada Mac lalu.
Cerita Rahman, dia diisytiharkan muflis pada 2017 selepas membuat pinjaman dengan sebuah syarikat pinjaman berlesen bagi membeli motosikal untuk adiknya pada 2012.
Katanya, sengsara bermula apabila adiknya tidak membayar ansuran bulanan menyebabkan gajinya yang dimasukkan ke dalam bank habis ‘disedut’.
“Pinjaman atas nama saya dan saya yang tanggung akibatnya apabila dia langsung tak bayar ansuran selama lima tahun.
“Lebih sengsara bila semua gaji saya ‘disedut’ oleh bank. Bila sudah muflis, hidup saya menjadi sukar, tambahan pula saya ada komitmen bulanan RM1,500,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Rahman, dia buntu kerana tiada pendapatan lain dan mula hidup ala kadar selain gaji hanya boleh diterima secara tunai.
“Saya bergaduh dengan adik sampaikan saya ambil semula motosikal untuk paksa dia berdikari. Saya kemudian pergi ke Jabatan Insolvensi yang membantu saya keluar daripada status muflis,” katanya.
Tambahnya, beban yang ditanggung terasa hilang apabila bebas bankrap tujuh tahun kemudian dan berjanji akan lebih berhati-hati sebelum buat pinjaman atau jadi penjamin.
Sementara itu, Joy Reyzal Abdul Aziz, 48, berkata, hidupnya menjadi gelap apabila muflis pada 2010 angkara hutang.
Katanya, segalanya bermula apabila dia jadi penjamin bagi pinjaman kenderaan rakan bisnes berjumlah RM32,000 pada 2008.
“Saya bankrap selama 13 tahun. Saya buat bayaran bulanan dan estate kepada Jabatan Insolvensi untuk keluar negara bagi tujuan cari peluang perniagaan sambil melancong,” katanya.
Menurut Joy Reyzal, dia mula membayar secara ansuran kepada insolvensi menggunakan hasil kerja membawa pelancong Malaysia ke Thailand terutamanya Hatyai, Krabi selama lima tahun sejak 2013.
“Saya mendapat hidup baharu dan rasa macam keluar penjara apabila bebas muflis pada 2022. Selama bankrap, saya tak buat hutang dan semuanya dibeli secara tunai jika mampu,” katanya.
Ujar Joy Reyzal, muflis bukan bermaksud hidup sudah berakhir tetapi perlu cekal selesaikan hutang.
“Ingat, jangan berhutang dan jangan jadi penjamin. Kalau bankrap, jalani kehidupan seadanya jangan putus asa dengan rezeki Allah,” pesannya.
Seorang peniaga online Mira Kamal, 35, berkata, individu bankrap perlu ke Jabatan Insolvensi bagi mendapatkan khidmat nasihat.
“Saya bankrap hampir 12 tahun dan akhirnya dapat juga pelepasan. Pergi ke Jabatan Insolvensi dahulu, kemudian rancang semula kehidupan anda perlahan-lahan,” ujarnya.














