NAMA Tun Daim Zainuddin bukanlah satu nama asing yang perlu diperkenalkan lagi.
Beliau merupakan individu yang menjawat jawatan Menteri Kewangan semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr. Mahathir Mohamad dari tahun 1984 hingga 1991 diikuti kali kedua pada 1999 hingga 2001 sebelum dikatakan bersara dalam politik. Nama beliau ‘muncul’ semula pada 2018 apabila Mahathir kembali memimpin negara dan melantiknya mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan.
Jasa Daim terhadap pembangunan negara tidak dapat dinafikan dan beliau berjaya membawa Malaysia mendepani cabaran ekonomi terutama semasa krisis kewangan Asia dua dekad lalu.
Namun kini, Daim pergi bertemu Sang Pencipta apabila meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 86 tahun. Allahyarham akan dikenang rakyat Malaysia sebagai antara arkitek utama dasar ekonomi negara.
Sama seperti Mahathir yang berasal dari Alor Setar, Kedah, Mahathir yang akrab dengan Allahyarham Daim berasa sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang berjuang bersamanya demi bangsa, negara dan agama.
Mahathir dalam buku Doktor Umum Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menulis satu bab tentang Daim yang merupakan seseorang yang telah bekerja rapat dengannya dalam satu tempoh agak lama.
Menurutnya, ramai orang terpesona dengan Daim dan menyifatkan beliau sebagai seorang yang penuh misteri dan itu menepati wataknya.
“Beliau berjaya memandu ekonomi Malaysia pada tahun-tahun mencabar, tetapi tidak menunggu untuk menikmati hasil kejayaan dasar-dasar beliau itu.
“Beliau meletak jawatan, tetapi bersedia membantu kerajaan dengan memberikan idea dan kritikan terbuka tanpa rasa takut atau berat sebelah,” tulis Mahathir yang mengakui mengenali keluarga Daim memandangkan mereka juga tinggal di Alor Setar dan abang kepada Tun Daim iaitu Senawi merupakan rakan karib kepada abang ipar Tun Mahathir.
Mahathir berkata, Daim pernah mengusahakan pembuatan garam tetapi gagal, kemudian beliau memasuki bidang perumahan dan mencatatkan kejayaan besar.
“Malah, saya percaya beliau adalah antara jutawan Melayu yang pertama di negara ini,” tulisnya.
Di dalam buku itu juga, Mahathir berkongsi tabiat Daim yang akan datang bertemu dengannya dengan membawa senarai masalah yang perlu ditangani beserta cadangan untuk mengatasinya.
“Beliau tidak pernah menyenaraikan masalah tanpa mencadangkan cara mengatasinya,” katanya mengenai Daim yang juga Penasihat Ekonomi kepada Perdama Menteri semasa krisis kewangan 1997 dan 1998.
Menyorot tentang dirinya, Allahyarham Daim dilahirkan pada 29 April 1938 serta anak bongsu daripada 13 beradik. Bapanya bekerja sebagai kerani kerajaan, manakala ibunya seorang suri rumah.
Allahyarham memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah dan Institut St Xavier, Pulau Pinang.
Selepas tamat sekolah menengah di St Xavier’s Institution di Pulau Pinang, Daim melanjutkan pendidikan ke Britain dalam jurusan undang-undang, dibiayai wang simpanan ibunya yang menjual tanah pusaka.
Pada usia 21 tahun, Daim diiktiraf sebagai peguam di Britain.
Sekembali ke tanai air, beliau meneruskan profesion undang-undang dan terbabit dalam pelbagai peranan antaranya peguam, majistret dan timbalan pendakwa raya.
Pada 1969, beliau memulakan firma guamannya sendiri, Daim & Gamany, tetapi memutuskan menceburi bidang perniagaan tidak lama selepas itu.
Beliau mencapai kejayaan besar dalam bidang ini, dan menjadi antara tokoh korporat Malaysia terkemuka dengan terlibat dalam sektor perkilangan, pembangunan hartanah dan perbankan.
Allahyarham merupakan seorang ahli perniagaan terkenal dan disegani, sebelum menceburi politik pada tahun 1980-an telah mempunyai banyak syarikat dan perniagaan termasuk di luar negara.
Dasar visi Allahyarham dan pendekatan langsung terhadap pembangunan ekonomi negara memainkan peranan penting dalam mengubah ekonomi Malaysia menjadi berkembang pesat.
Sementara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang pernah menjadi rakannya dalam kerajaan berkongsi kehebatan Allahyarham dalam ‘menyelamatkan’ ekonomi negara.
Rais menyifatkan, Daim adalah individu dalam kerajaan Mahathir yang mempunyai cara bertugas dan bertindak yang banyak menyumbang kepada keutuhan kerajaan Mahathir.
“Sumbangan terbesar yang paling saya ingat ialah berhubung dengan dasar memulangkan kapital atau kewangan luar negara, masuk ke dalam Malaysia semula, tanpa dikenakan cukai pada krisis kewangan 1997 dan 1998.
Krisis kewangan itu dapat diatasi dan Malaysia tidak jadi ambil hutang dari pihak luar termasuk monetary fund dari pihak luar iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa. Ini menyebabkan kewangan negara kembali stabil dalam pemerintahan dan dasar fiskal negara pada masa itu.
“Dengan adanya dasar itu, semua pihak berduit atau mempunyai kapital membawa wang dari luar negara ke Kuala Lumpur tanpa disoal siasat dan wang itu menyebabkan nilai ringgit melonjak naik semula dan selamat daripada hakisan kewangan antarabangsa,” katanya.
Kedua kata Rais, sumbangan Daim adalah menerusi peranannya sebagai Bendahari UMNO.
“Saya sebagai Menteri Penerangan ketika itu melihat cara beliau sebagai Bendahari UMNO menyumbang kepada pembinaan PWTC bersama Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya.
Mengenai bibit perkenalannya dengan Allahyarham, Rais berkata, pada tahun 1981 dan 1982, semasa saya menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Daim sebagai pengusaha perumahan dan peniaga am banyak buat projek perumahan rakyat.
“Daim memang mencari jalan bagaimana pemilikan rumah dalam bandar bagi masyarakat Melayu tidak hilang daripada perancangan kerajaan. Cadangannya adalah supaya kependudukan bandar diimbang oleh keberadaan orang Melayu. Rumah yang dibina seperti Taman Maluri, Taman Gombak kecil atau Rasah di Seremban berasaskan kepada kemampuan orang Melayu untuk membeli rumah dengan nisbah sekurang-kurangnya 30 peratus.
“Projek ini membuatkan saya kenal sifat beliau dan Tun Mahathir juga meminati sifatnya yang pendiam tapi teliti dalam membuat kerja.
“Bagi saya, peranan Daim banyak disalah erti. Sebagai seorang sahabat yang rapat dengan kedua-dua pemimpin yakni Mahathir dan Daim, saya lihat cara dan kaedah beliau mengatasi masalah adalah dengan tanpa banyak publisiti. Daim harus dilihat sebagai seseorang yang memendekkan khidmatnya dalam kerajaan setelah masalah-masalah besar selesai diatasinya mengikut dasar-dasar yang sempat dilaksanakannya sebagai Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, rakyat Malaysia tidak boleh ketepikan jasa dan sumbangan Daim kepada negara.
Menurutnya, beliau merupakan seorang yang berorientasikan kepada keberanian membuat keputusan-keputusan yang tidak popular.
“Malah, beliau pernah menjadi penasihat utama kepada Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sudah pasti ini satu kehilangan besar kerana beliau pernah berada ketika kerajaan sedang merancakkan ekonomi dan juga keadaan negara dilanda krisis ekonomi pada 1998,” jelasnya.
Sivamurugan berkata, sesuatu keputusan yang dibuat oleh Tun Daim banyak dibuat berdasarkan latar belakang pengalamannya sebagai usahawan hebat negara.
Oleh itu, Tun Daim mempunyai pengetahuan yang cukup besar dalam ilmu perniagaan dan membolehkan advokasi pembangunan ekonomi diterap berdasarkan pengalaman lepas.
“Tun Daim pernah gagal dalam perniagaan, tetapi itu sebenarnya meningkatkan motivasi dan keazaman serta disiplin beliau,” jelasnya.
















