SETIU – Seorang pengusaha tembikai menuai hasil tanamannya sebelum berlaku banjir berikutan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada Selasa lalu.
Nik Muhamad Saifullah Nik Ismail, 31, berkata, dia mengambil ikhtibar pengalaman perit kerugian lebih RM100,000 setelah ladang tembikainya ditenggelami banjir, dua tahun lalu.
“Pengalaman ladang seluas 8.9 hektar ditenggelami banjir tanpa sempat menuai hasilnya membuatkan saya mengalami kerugian besar.
“Modal yang saya laburkan lebur begitu sahaja. Ini memaksa saya mengeluarkan wang simpanan bagi melakukan penanaman semula tembikai,” katanya ketika ditemui di ladang tembikainya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini semalam.
Nik Muhamad Saifullah berkata, sejak itu, dia menyusun semula jadual penanaman tembikai di ladang agar semua hasil tanaman dapat dituai sebelum turunnya hujan lebat musim tengkujuh.
Jelasnya, penanaman tembikai di ladangnya dijadualkan tiga kali setahun iaitu bulan Mac, Jun dan September.
“Penanaman tembikai di ladang saya akan dihentikan antara bulan November hingga Februari setiap tahun bagi mengelakkan risiko banjir.
“Buah tembikai akan matang dan mula boleh dituai apabila mencecah usia 60 hari,” ujarnya lagi.
Nik Muhamad Saifullah memberitahu, setakat ini sebanyak kira-kira 130 tan metrik tembikai sedang dituai setelah buah tersebut mula matang sejak dua minggu lalu.
Jelasnya, kesemua hasil tanaman telah dituai pada musim ini telah dipasarkan bukan sahaja di seluruh Terengganu, malahan turut dihantar ke utara tanah air untuk dijual.
“Harga borong pada masa ini amat berpatutan iaitu antara RM1.30 hingga RM1.70 sekilogram mengikut gred,” katanya.















