KANGAR – Perbuatan mendedahkan aib pasangan di media sosial, sekali gus menjadikan netizen sebagai ‘mahkamah’ menilai dosa peribadi adalah perbuatan haram di sisi Islam.
Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang menjawab persoalan berkaitan hukum mendedahkan kecurangan pasangan di media sosial menerusi laman web Jabatan Mufti Perlis berkata, tindakan isteri mendedahkan aib peribadi suami kepada awam adalah satu dosa besar.
“Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa. Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain dan mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal yang sama kepada isteri,” katanya.
Jelasnya, jika isteri ingin membantah perbuatan curang suami, dia boleh membantah terus kepada suami atau kes itu boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.
“Jika beliau sudah tidak dapat menerima suaminya, dia boleh menuntut fasakh atau perpisahan dengan mengemukakan alasan di mahkamah.
“Demikianlah jika suami meyakini isterinya curang, beliau menuduhnya di mahkamah secara li’an atau beliau boleh terus menceraikannya,” jelasnya.
Kata beliau, menjadikan netizen sebagai ‘mahkamah’ menilai dosa peribadi adalah perbuatan yang haram kerana dosa tersebut tiada kaitan dengan netizen dan tiada keperluan untuk diketahui mereka.
“Islam mewajibkan umatnya menutup aib peribadi diri dan juga orang lain dengan dosa antara seseorang dengan Allah haram didedah kepada umum.
“Walau bagaimanapun, ia hanya boleh didedah jika jenis dosa itu membabitkan kezaliman terhadap pihak lain dan untuk proses pengadilan atau bertanya hukum (jika perlu disebut nama) dan mahu memberi amaran agar pihak lain tidak menjadi mangsa seterusnya,” tambahnya.
Kosmo! semalam melaporkan, ramai individu cenderung berkongsi hal rumah tangga di media sosial termasuk aib pasangan masing-masing yang akhirnya boleh menjadi punca hubungan menjadi rapuh seterusnya mengundang perceraian.














