fbpx
ARENA sukan negara terus ‘berkiblatkan’ kepakaran asing. - GAMBAR HIASAN

Agungkan sangat kepakaran luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN ini genap 67 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan yang menyaksikan tanah air tercinta sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Tetapi malangnya apabila orang kita sendiri seakan masih lagi mempunyai sikap terlalu bergantung, malah terlampau mengagungkan kepakaran luar.

Lihat saja beberapa nama anak Malaysia yang pernah ‘kongsi ilmu’ di luar negara seperti Tan Cheng Hoe dan Azmin Azram Abdul Aziz bagi sukan bola sepak, malah ramai jurulatih badminton kita yang pernah atau pun sedang melatih pemain asing.

Namun jika arena sukan negara terus ‘berkiblatkan’ kepakaran asing, ia pasti memberi kesan apabila bekas-bekas pemain yang memiliki lesen tidak dapat berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

Bukan individu bergelar jurulatih saja yang diiktiraf, sebenarnya ada figura atau sosok tubuh ‘orang Malaysia’ yang bijaksana dan hebat hingga mendapat pengiktirafan luar seperti Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim.

Ilmu dan kepakaran Dr. Zulakbal mendapat perhatian daripada warga Indonesia apabila dia mendapat jemputan selaku pengucap utama (keynote speaker) di persidangan Universiti Negeri Padang (UNP), Selasa ini.

“Terima kasih kerana menjemput saya untuk berkongsi pengetahuan, jadi ini juga menzahirkan bakat Malaysia juga dihargai di negara sahabat.

“Sebelum ini juga sudah ada jurulatih kita yang mendapat peluang bekerja di luar negara. Seperti saya juga, saya yakin mana-mana ahli akademik, jurulatih atau pun siapa saja di bidang lain akan sentiasa bersedia untuk berkongsi kepakaran dan menabur bakti di negara sendiri sekiranya diberi peluang,” katanya.

Orang kata, kalau tanah Malaysia hanya sesuai untuk menanam ubi kayu, usahlah kita bermimpi untuk dapatkan pekebun yang dikatakan terlalu ‘bombastik’ mampu tanam epal mahupun avocado dengan baik.

Bukan bersikap mandatori menolak keperluan kepakaran asing, tetapi asasnya bukan semua bersesuaian dengan Malaysia kerana mungkin ilmu yang mereka ada jauh beza dengan kelaziman, cara hidup ataupun geografi di negara ini.

Seperkara lagi yang menyenangkan hati penulis adalah keberanian Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk melantik kontraktor tempatan untuk menjaga kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun langkah itu dilihat mengundur kerana PSM pernah melantik kontraktor luar, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iliyas Jamil beranggapan individu tempatan pastinya lebih ‘masak’ dengan persekitaran di negara ini.

“Kadangkala kita lantik kepakaran luar tetapi adakalanya mereka tidak faham keadaan di sini. Syarikat tempatan itu dipilih bersesuaian dengan spesifikasi kita mahukan.

“Tempoh tiga bulan ini akan jadi ujian awal buat PSM dan kontraktor tempatan yang dipilih, harapnya di Piala Asean nanti padang berada dalam keadaan baik,” katanya.

Hakikatnya, selain dapat menjimatkan kos, langkah mengetengahkan kepakaran tempatan tidak bererti kita ambil langkah mundur kerana adakalanya ‘barang murah’ juga lebih berkualiti daripada ‘barang ternama’ dan mahal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN