fbpx
Nur Suraya menunjukkan gambar Muhammad Hariyz Akief yang maut akibat renjatan elektrik di Kuala Nerang, kelmarin.

‘Dia macam tidur saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Luluh hati seorang ibu sebaik dimaklumkan mengenai keadaan anaknya yang tidak sedarkan diri akibat ter­kena renjatan elektrik di kawasan bendang dekat Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang, kelmarin.

Nur Suraya Abdul Rahman, 42, berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan anaknya, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, meninggal dunia, manakala empat rakan mangsa yang lain cedera.

“Jasadnya bersih tanpa ada sebarang tanda kecederaan teruk kecuali sedikit kesan di tangan dan kaki, nampak macam dia tidur,” kata Nur Suraya ketika ditemui semalam.

Menurut suri rumah itu, dia sudah mula merindui ketiadaan Akief dan merasa sunyi berikutan keletah anak keduanya itu yang selama ini cukup ceria serta rajin hingga dianggap sebagai penghibur dalam keluarga.

“Biasanya dia pulang ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang atau sebelum maghrib tetapi semalam (kelmarin), dia tidak pulang. Kira-kira pukul 7 petang sewaktu suami, Noraimi Ahmad, 42, baru pulang dari bekerja, kami terdengar bunyi motor di luar rumah.

“Saya sangkakan Akief pulang ke rumah tetapi kami kemudiannya terdengar orang memberi salam. Sebaik membuka pintu, terdapat dua kenalan Akief yang memaklumkan anak kami ter­kena renjatan elektrik bersama rakan-rakan lain.

“Lutut terus terasa longlai sebelum saya bersama suami dan anak sulung, Muhammad Shabil Airiel Noraimi, 17, bergegas ke lokasi kejadian. Di situ kami dapati empat rakan Akief yang turut terkena renjatan elektrik sudah sedar, tetapi anak saya masih tidak bergerak,” katanya.

Tambahnya, melihat keadaan itu, dia sekeluarga terus menghampiri Akief dan mengajarnya mengucap sebelum bergegas membawanya ke Hospital Kuala Nerang.

Begitupun katanya, setibanya di hospital, hatinya luluh apabila doktor memaklumkan yang anaknya tidak lagi dapat diselamatkan.

“Kami kehilangan seorang anak yang cukup istimewa dan menjadi penghibur keluarga. Memang terkejut kerana suami memaklumkan yang dia sempat melihat arwah tersenyum kepadanya ketika dalam perjalanan pulang dari kerja.

“Ketika itu, Akief berkumpul bersama rakan-rakan.

“Saya terkenang detik-detik sewaktu kami makan tengah hari berdua semalam (kelmarin) dengan Akief memaklumkan masakan saya amat sedap sedangkan lauk yang dijamu cuma ayam goreng serta sambal belacan.

“Dia juga sempat mencuci motosikal kesayangannya. Dia juga memaklumkan sudah tidak mahu menaiki motosikal itu,” katanya.

Tambahnya, jenazah anak­nya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Asisten Superintendan Mohd. Yukhrul Mohd. Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.30 petang di kawasan bendang kampung tersebut.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Hariyz bersama empat rakannya berusia antara 15 hingga 19 tahun cuba mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut di kabel elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN