fbpx
Pengambilan gula berterusan atau berlebihan ditambah penyakit malas bersenam akhirnya menjadi obes.

Pilih sihat berbanding ‘budaya kesedapan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONFLIK selera dan kesihatan kerap berlaku terutama apabila mementingkan budaya ‘kesedapan’ dalam sesuatu sajian.

Teh tarik atau teh susu yang lebih dikenali teh boba, malah air berkarbonat contohnya menjadi pilihan hampir semua lapisan generasi.

‘Nikmat’ tersebut sukar dilepaskan dan menyebabkan pengambilan gula berterusan atau berlebihan ditambah penyakit malas bersenam akhirnya menjadi obes.

Semua itu ‘resipi’ utama kepada diabetes, strok, masalah buah pinggang yang merupakan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Data dikeluarkan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menyatakan, Malaysia mempunyai jumlah penghidap diabetes kelima tertinggi di dunia.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kadar diabetes di negara ini mencapai tahap berbahaya dan berisiko meningkat kepada tujuh juta orang tahun depan daripada 3.9 juta pada 2019.

Pensyarah Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Prof. Madya Dr. Norazmir Md. Nor berkata, cadangan kenaikan duit eksais gula secara langsung mendidik bahayanya pengambilan gula berlebihan dan tidak terkawal.

“Kesedaran pada golongan muda, insya-Allah sudah nampak dengan memesan minuman kurang manis.

“Cuma golongan pertengahan dan warga emas yang sudah terbiasa dan memang rentan pengambilan gula ini tidak boleh diubah secara drastik.

“Namun, sedikit sebanyak akan memberikan kesan dengan mereka menyatakan sudah mahal harga secawan (bila dilaksanakan duti itu).

“Mereka akan minum, namun akan kurangkan yang secara tidak langsung membantu hasrat kerajaan mendapat masyarakat sihat,” katanya di sini kelmarin.

Beliau mengetahui ramai ibu bapa suka memberikan minuman manis kepada anak-anak yang juga menyukainya termasuk jenis kordial berkarbonat dan air kotak yang mempunyai kandungan gula tinggi.

Namun, katanya, perlu disesuaikan dengan aktiviti kanak-kanak terutama jenis kuat bersukan.

“Kalau anaknya jenis lebih bersantai adalah perlu dikurangkan pengambilannya. Di peringkat kanak-kanak biasanya tidak nampak penyakit diabetes itu, namun ia akan ‘develop’ sedikit demi sedikit sampai umur remaja akan nampak kesannya,” katanya.

Tambahnya, memang diketahui banyak produk minuman di luar, namun kita tidak boleh melawan arus modenisasi atau kemajuan teknologi makanan seiring sosio ekonomi.

“Contohnya teh boba, boleh beli dan rasa cuma satu bekas minuman itu sepatutnya dikongsi dalam kalangan ahli keluarga. Kita masih boleh menikmati, namun kurangkan agar tidak terperangkap pengambilan gula berlebihan.

“Tambahan, tenaga dari gula ringkas khususnya boleh diperoleh daripada pelbagai sumber seperti buahan-buahan, nasi dan roti. Jangan kita tambah gula berlebihan sangat agar tidak merana kemudian hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN