PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci yang menyatukan dua hati.
Sebolehnya setiap pasangan pasti ingin sehidup semati dengan pasangan yang dicintai.
Namun, tidak semua pasangan yang berkahwin akan hidup bersama sehingga akhir usia.
Ada pasangan yang memilih untuk berpisah atas sebab-sebab tertentu dan itulah yang berlaku dalam rumah tangga seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Azim.
Menurutnya, rumah tangga yang dia bina bersama isteri tercinta hampir lapan tahun akhirnya terlerai kerana orang ketiga.
“Sebelum ini kita hanya dengar kaum wanita yang menjadi ‘penyondol’ sehingga menyebabkan suami berlaku curang.
“Tetapi sebenarnya ada juga lelaki yang menjadi ‘penyondol’ sehingga menyebabkan saya terpaksa memilih untuk melepaskan isteri saya,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.
Azim mengakui dia sangat kecewa apabila dapat mengetahui isteri tercinta berlaku curang di belakangnya.
Isterinya itu telah menjalinkan hubungan dengan lelaki yang lebih muda daripadanya.
Kecurangan isterinya itu terbongkar selepas Azim menyedari ada perubahan dalam diri isterinya yang merupakan seorang wanita bekerjaya.
“Isteri saya sering pulang malam dan dia memberi alasan banyak kerja yang harus diselesaikan.
“Selain itu, ketika di rumah dia selalu dengan telefon pintar dan dari jauh saya melihat dia sering tersenyum ketika sedang ‘WhatsApp’.
“Apabila ditanya dia menyatakan dia sedang berbual dengan rakan-rakannya di dalam kumpulan WhatsApp,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, kini apabila masuk ke dalam tandas isterinya itu akan membawa sekali telefonnya.
Itu sedikit sebanyak telah menimbulkan perasaan syak wasangka di hati Azim.
Dia cuba memeriksa telefon pintar isterinya itu tetapi tiada apa yang mencurigakan.
Sehinggalah pada suatu hari minggu, Azim mengambil keputusan untuk mengekori isterinya yang keluar pada hujung minggu.
Isterinya itu menyatakan kepada Azim dia ingin keluar bersama rakan-rakannya.
“Saya mengikutinya dari jauh dengan meminjam motosikal kawan saya tanpa pengetahuan isteri saya.
“Isteri saya meletakkan keretanya di sebuah kawasan kedai dan kemudian ada lelaki dengan motosikal berkuasa besar menunggunya di situ.
“Mereka berdua menaiki motosikal bersama sambil berpelukan,” jelas Azim.
Dia kemudian mengikuti mereka dan mencari masa yang sesuai untuk menghentikan mereka.
Azim kemudian mendekati mereka ketika berhenti di satu lampu isyarat dan meminta untuk isterinya dan lelaki tersebut turun dari motosikal itu.
Tetapi lelaki itu memecut motosikal tersebut bersama isterinya dan Azim tidak dapat mengejar mereka.
“Saya beberapa kali menghubungi isteri saya tetapi dia tidak menjawab dan saya menghantar pesanan kepadanya untuk pulang ke rumah segera.
“Kerana ketakutan, isteri saya tidak pulang ke rumah pada malam itu dan dia langsung tidak menjawab panggilan dan pesanan mesej daripada saya,” jelasnya.
Azim kemudian meminta isterinya itu untuk pulang dengan baik bagi mereka membincangkan akan hal itu.
Keesokan hari isterinya pulang dan Azim meminta penjelasan.
“Isteri saya mengakui dia ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan dia sangat sayang dengan lelaki itu. Lelaki itu lagi muda daripada saya iaitu berusia 20-an dan lelaki itu amat menyayanginya.
“Isteri kata dia mengenali lelaki itu atas urusan kerja, kemudian lelaki itu cuba memikatnya walaupun tahu dia isteri orang. Lama-kelamaan isterinya juga jatuh cinta kepada lelaki itu dengan menyalahkan saya.
“Dia cuba menyalahkan saya dengan menyatakan saya tidak mempedulikan hati dan perasaannya selepas kami berkahwin dan atas sebab itu dia mencari lelaki yang lebih memahaminya.
“Isteri saya juga menyatakan dia sunyi dalam perkahwinan kami kerana tidak dikurniakan cahaya mata dan menyalahkan saya selalu menghabiskan masa dengan rakan-rakan.
“Dia berkata sudah bosan dengan saya dan meminta saya melepaskannya supaya dia boleh bersama lelaki itu,” katanya.
Isteri Azim sudah nekad dengan keputusannya untuk berpisah.
Azim cuba memberi tempoh bertenang supaya isterinya itu kembali menyedari akan kesalahan dirinya.
Namun ternyata, isterinya itu seorang yang keras kepala dan dalam tempoh itu mereka langsung tidak bercakap dan tidur berasingan.
Setelah berfikir panjang, Azim kemudian mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya.
Mereka berdua akhirnya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.














