MUSIM anugerah datang lagi. Malam Sabtu lalu khalayak menjadi saksi betapa 30 tahun dalam industri, dikenali ramai, heboh sana sini, Rita Rudaini pun sebenarnya baru merasa menang trofi Aktres Pembantu TV Popular.
Bukan tidak pernah tercalon, sebelum ini dia tercalon dalam Pelakon Filem Wanita Popular pada 2003 dan 2006.
Dalam kategori TV pula dia pernah Top 5 Pelakon Wanita Popular empat tahun berturut-turut iaitu pada 2005, 2006, 2007 dan 2008, cuma nasib tak pernah menyebelahinya. Tapi dia tetap popular.
Okeylah. Tahun sebelumnya, kita mungkin pernah dengar tentang 30 tahun atau 20 tahun jadi orang seni, baru dapat trofi, macam Bell Ngasri, Beto Kusyairy, Tyzo dan Elly Mazlein.
Tahun ini skrip masih sama berulang untuk Aedy Ashraf, Shah Iskandar dan paling pelik Raja Emma pun menang mengalahkan wajah-wajah muda seperti Daiyan Trisha dan Nadia Brian.
Benarlah orang putih kata, it’s not about age or numbers. Ini tentang betapa orang suka dan apa yang tengah ‘in’. Kena pada masa dan ketika, menjadi. Seperkara yang penting sentimen!
Persoalan satu lagi, berapa lama anugerah itu akan kekal? Yang tertulis di trofi atau di mana-mana memang kekal, namun untuk terus melekat dalam kepala, mata, hati khalayak, perlukan kerja keras, nilai sensasi dan keterpujian berterusan.
Paling utama kedekatan perasaan antara peminat dan artis. Itu diraih semula Fasha setelah bertahun-tahun boleh kembali menjadi kesukaan.
Itu juga dicapai KJ (Khairy Jamaluddin) walaupun baru setahun jagung jadi DJ, dah menang. Itu yang tiap-tiap hari ‘dikompang’ geng HotFM. Strategi juga main peranan!
Saya percaya kalau tiba-tiba ada anugerah Artis Janda atau Duda Paling Popular, tentu nama dua selebrit Fattah dan Fazura akan naik, tapi tak mungkinlah ada anugerah bersandarkan status sosial begitu.
Tinggal lagi, status sosial adakalanya mempengaruhi pencapaian dalam populariti. Bab populariti atau Anugerah Bintang Popular sudah selesai, jangan lupa di hujung simpang sana (hujung Oktober) ini ada Anugerah Seri Angkasa (ASA) yang mengiktiraf penerima bukan berdasarkan kuantiti undian sebaliknya kualiti.
Anugerah itu tidak dihakimi netizen yang semua berasaskan emosi tanpa bersengkang mata membuat pengamatan penjurian. Begitu juga Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 yang akan berlangsung pada 7 Disember depan.
Kalaulah ABP yang serba glamor calonnya dikatakan semakin suram dan mengecil berdasarkan lokasi penganjuran dan kehangatan promosi, apalah nasib ASA dan FFM yang saban tahun dibisikkan sepi lagipun tiada pula cerita sensasi.
Anugerah popular penting tapi sampai satu saat trofi itu tidak bererti kalau tanpa kualiti. Jadi, raikan populariti dan kualiti tanpa prejudis!














