APABILA sebut sahaja rumah bertemakan merah jambu, pasti ramai membayangkan rumah agam dalam filem Barbie.
Namun, Siti Nursakinah Nazeri tidak menjadikan ruang yang terhad sebagai penghalang buatnya untuk mengenakan tema warna tersebut.
Ini kerana, merah jambu sendiri memiliki variasi tona yang boleh disesuaikan dengan ruang rumah agar tidak kelihatan sesak.
Jika rumah Barbie didominasi warna hot pink, suri rumah berkenaan memilih warna merah jambu bertona soft pink, pink peach, baby pink dengan dusty pink.
Menurut pemilik rumah pangsa di Shah Alam, Selangor itu, warna merah jambu cerah mampu menampakkan rumah kecil tampak lebih luas.
“Saya suka warna merah jambu. Oleh itu, saya aplikasikan warna kesukaan saya dalam hiasan rumah.
“Saya selitkan juga penggunaan warna putih supaya warna merah jambu ini akan nampak lebih terserlah.
“Warna cerah boleh menampakkan rumah yang kecil lebih luas. Dalam masa yang sama rumah nampak selesa dan cantik,” katanya.
Perkara yang menarik tentang hiasan dalaman rumah berkeluasan 650 kaki persegi (60.387 meter persegi) itu adalah kepelbagaian reka bentuk perabotnya.
Biarpun terdapat banyak reka bentuk sofa, kerusi kecil dan meja makan, namun ia tetap bersifat ringkas dan tidak melampau.
Susunan perabot sesuai dengan tema moden minimalis yang ingin diterjemahkan oleh ibu kepada empat anak lelaki itu.
Tambah wanita berusia 35 tahun berkenaan, kebanyakan idea diinspirasi daripada paparan tata hias merah jambu di laman Pinterest.
“Saya pilih reka bentuk perabot yang sesuai dengan bentuk rumah saya serta memiliki ciri yang serba ringkas.
“Pilihan tersebut dibuat supaya rumah bukan sahaja tidak nampak sarat dengan perabot, malah sedap mata memandang,” ujarnya.
Menariknya, kebanyakan perabot dan aksesori di rumah berkenaan dibeli menerusi laman Shopee kerana harganya yang murah.
Siti Nursakinah mengambil masa lima hingga enam tahun untuk melengkapkan setiap sudut rumah dengan warna pink yang hampir senada.
Katanya, sejak pindah ke kediaman tersebut 10 tahun lepas, tidak pernah ada sebarang renovasi dilakukan pada kediaman tersebut.
“Tidak ada sebarang pengubahsuaian. Saya hanya mengubah kedudukan perabot supaya rumah lebih praktikal dan tidak sempit.
“Anggaran kos keseluruhan untuk pembelian barangan sepanjang tempoh lima hingga enam tahun adalah lebih kurang RM15,000,” ujarnya.
Dengan hiasan rumah sedemikian, Siti Nursakinah juga berharap dapat memberi motivasi kepada golongan B40 dalam ruang dekorasi rumah.
Ini kerana, ramai yang menyangka mereka perlu berbelanja besar atau perlu membuat pengubahsuaian sekiranya mahu tampak mewah.
Jelasnya, kreativiti dan kemampuan untuk mencari barangan yang murah di laman e-dagang merupakan kunci utama.
“Saya nak buktikan, kita tidak perlu buat pengubahsuaian rumah yang menelan kos besar. Dengan berbekalkan reka bentuk dan ruang rumah asal juga, kita boleh jadikan rumah nampak moden dan cantik.
“Semuanya bergantung dengan penggunaan perabot dan warna yang betul,” jelasnya.














