KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengekalkan rentak kemenangan selepas meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa, Finland sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu tidak berdepan banyak masalah menewaskan pemain Jepun, Yushi Tanaka 21-11, 21-18.
Turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, Zii Jia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila menampilkan aksi konsisten dan mendahului 11-5 bagi meletakkan pemain lawan berada dalam tekanan.
Selepas meraih mata ke-11, pemain berusia 26 tahun itu terus menampilkan aksi meyakinkan biarpun Tanaka cuba untuk mengejar sebelum dia menamatkan set pertama 21-11 dalam tempoh 17 minit.
Bersambung set kedua, Tanaka seolah-olah mendapat semangat baharu apabila memperagakan corak permainan lebih baik dan berjaya mendahului 6-3 sebelum Zii Jia kembali menyamakan kedudukan 9-9.
Enggan perlawanan diheret ke set penentuan, Zii Jia yang juga pemain No.4 dunia kembali memperkemaskan permainan dan mendahului 16-13 sebelum melengkapkan kemenangan 21-18 di set kedua dalam tempoh 25 minit.
Menjelang aksi suku akhir esok, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan menantikan pemenang perlawanan antara pemain China, Lu Guang Zu dan seorang lagi wakil Jepun, Koki Watanabe.
Turut mengiringi Zii Jia ke suku akhir esok adalah beregu campuran kebangsaan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menyingkirkan wakil Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-12. – KOSMO! ONLINE